mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui terlalu banyak keperitan dan cabaran terpaksa dilalui untuk menempatkan diri di pentas final tiga meter (m) papan anjal wanita.
Walaupun, berada di tempat tercorot di pentas final yang berlangsung di Pusat Akuatik Olimpik namun ramai yang tidak mengetahui bahawa penerjun berusia 25 tahun itu memerah segala kudrat dalam usaha memastikan mampu melangkah sejauh mungkin di pentas sukan Olimpik Paris 2024.
Dhabitah berkata, persediaan yang cukup singkat selain dibelenggu isu jurulatih menyebabkan dia agak sukar untuk memastikan prestasi berada pada tahap optimum.
“Sebaik melangkah ke Olimpik Paris, saya tidak akan mengalah dan percaya mungkin ada benda lebih baik Allah akan bagi.
“Persediaan singkat dan isu jurulatih… Saya fikir ini satu pencapaian yang hebat kerana hanya buat persediaan ringkas.
“Saya tidak pernah terfikir dapat masuk final. Ada satu ketika saya sudah berputus asa tapi alhamdulillah dapat melaluinya semua tanpa masalah,” katanya yang membuat penampilan ketiga selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Terdahulu, pemenang lima pingat Sukan Asia itu hanya mampu mencatatkan keseluruhan 244.80 mata untuk menduduki tempat ke-12 selepas lima terjunan di final, manakala penerjun China, Chen Yiwen membawa pulang emas dengan 376.00 mata.
Selain itu, dia berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih sehingga dapat melepasi peringkat awal dan mara ke separuh akhir.
“Selepas pulang, saya mahu berehat dahulu, saya perlukan masa untuk diri sendiri…Saya rasa saya terlalu menekankan diri…tidak cukup menghargai diri sendiri…saya rasa badan dan minda saya perlukan rehat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




