Pos Malaysia, Whoscall banteras kes 'scam' bungkusan bersama PDRM

Pos Malaysia, Whoscall banteras kes 'scam' bungkusan bersama PDRM

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan aplikasi anti-penipuan terkemuka, Whoscall yang dikuasakan oleh Gogolook memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia.

Kerjasama proaktif ini membabitkan Pos Malaysia berkongsi semua nombor operasi dengan Whoscall, termasuk nombor posmen, yang akan ditandakan sebagai “verified numbers” (nombor yang disahkan).

Dengan ini, pengguna Whoscall akan lebih yakin untuk menerima panggilan dan SMS daripada Pos Malaysia dan dan secara amnya ia akan melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman penipuan parcel yang semakin meningkat.

MoU ini ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo dan Pengarah Operasi, Pos Malaysia, Zaini Yahman, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri, Ramli Mohamed Yoosuf.

Selain daripada pengesahan nombor telefon, MoU ini juga menggariskan kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall untuk melancarkan Kempen Kesedaran Parcel Scam, yang akan merangkumi siri jelajah yang meluas di seluruh negara untuk mendidik orang ramai berkenaan penipuan parcel.

Ramli berkata, pihaknya memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktif ini dalam memerangi penipuan dalam talian khususnya membabitkan phone scam.

“Inisiatif #ScamFreeMalaysia adalah bukti usaha kolektif kita dalam memerangi jenayah dalam talian dan melindungi orang awam.

“Kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall adalah langkah yang signifikan dalam usaha berterusan bagi memerangi penipuan dalam talian, termasuk isu penipuan phone scam di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pos Malaysia dan Whoscall di Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Daya Bumi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zaini berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi kerjasama Pos Malaysia dengan JSJK dan Whoscall mengenai kempen kesedaran anti-scam di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif ini dibina berdasarkan program perintis yang berjaya di Perak dan mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam komitmen terhadap keselamatan pelanggan dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Tambahan pula, kami berbangga menjadi syarikat tempatan yang pertama untuk bekerjasama dengan Whoscall dalam melaksanakan penandaan “verified numbers” (nombor yang disahkan).

“Penyelesaian inovatif ini dapat mengesahkan lebih 6,600 nombor telefon operasi yang digunakan oleh pasukan kami, menghapuskan ketidakpastian dan membina kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini sejajar dengan tujuan pihaknya di Pos Malaysia: untuk membina kepercayaan menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang.

“Dengan menangani masalah penipuan bungkusan, kami bukan sekadar melindungi pelanggan, kami juga meningkatkan reputasi jenama Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya.

Manwoo pula berkata, kerjasama bersama Pos Malaysia dalam perkongsian nombor telefon posmen ke Whoscall memperluaskan lagi pangkalan datanya di Malaysia dan ini dapat mengukuhkan lagi tahap keselamatan penggunanya.

“Melalui perkongsian sumber data ini digabungkan dengan aplikasi teknologi anti-penipuan yang berkuasa oleh Whoscall, kami akan dapat melindungi rakyat Malaysia dengan lebih menyeluruh daripada semua jenis penipuan dalam talian, termasuk penipuan parcel.

“Teknologi kami berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama dalam mencegah penipuan dalam talian, membantu membina persekitaran yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi menyokong inisiatif ini, Whoscall dan Pos Malaysia menawarkan percubaan percuma selama 60 hari bagi ciri Premium Whoscall.

Rakyat Malaysia boleh menebus tawaran ini dengan melayari https://bit.ly/POSAntiScam, dan menggunakan kod promosi PosAntiScam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top