Kanak-kanak perempuan, wanita ditikam di Leicester Square

Kanak-kanak perempuan, wanita ditikam di Leicester Square

London: Seorang lelaki ditahan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun ditikam di Leicester Square, London, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Polis Metropolitan berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke pusat trauma utama selepas serangan di kawasan tumpuan pelancong itu pada Isnin.

Tiada butiran segera mengenai tahap kecederaan mereka.

Lelaki berkenaan kini berada dalam tahanan dan dia dipercayai satu-satunya suspek.

Dataran dan kawasan sekitarnya yang menerima kira-kira 2.5 juta pelawat setiap minggu ini adalah lokasi bagi kedai, teater, pawagam, dan restoran.

Kawasan kejadian jenayah itu ditutup dengan pita polis yang mengelilingi pintu berkembar kedai TWG Tea, yang terletak di sebelah kedai Logo dan di hadapan kedai M&Ms.

Dalam satu kenyataan, polis berkata: “Pegawai berada di lokasi kejadian tikaman di Leicester Square.”

“Seorang lelaki ditahan dan kini berada dalam tahanan. Kami tidak percaya ada suspek lain yang terbabit.

Dua mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 34 tahun, dibawa ke hospital dan kami sedang menunggu maklumat lanjut mengenai keadaan mereka, ” kata polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top