BARCELONA: Ejen dan ayah kepada penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland berkunjung ke Barcelona semalam untuk berjumpa presiden baharu kelab, Joan Laporta, lapor media tempatan.
“Minat Barca terhadap pemain itu disahkan menerusi pertemuan ini dan mereka akan membuat tawaran,” kata akhbar harian Catalan, Sport, bersama gambar ejen Haaland, Mino Raiola dan ayahnya, Alf-Inge Haaland tiba di kota berkenaan.
Menurut akhbar berkenaan, Raiola, yang juga ejen Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic, bersama ayah Haaland mengadakan perbincangan dengan Laporta dan pengarah bola sepak Barca, Mateu Alemany.
“Raiola dan ayahnya tampak bersedia untuk menandatangani perjanjian buat pemain itu bersama Barca walaupun ia bergantung kepada harga terakhir diletakkan Borussia Dortmund terhadap pemain Norway itu,” kata Sport.
“Pengesahan minat ditunjukkan Barca disampaikan Laporta diterima dengan rasa gembira Raiola dan ayah Haaland yang menyatakan bahawa bukan hanya Barca yang juga kelab besar menyatakan minat,” kata Mundo Deportivo.
“Apa yang Barcelona perlukan ialah pemain itu memilih kelab untuk mengelak sebarang bidaan buatnya yang tidak akan menguntungkan Barcelona, yang tidak memiliki banyak wang untuk dibelanjakan.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




