harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Semangat perpaduan antara pelbagai masyarakat Borneo terus dirasai apabila ratusan anak perantauan daripada Sabah dan Sarawak berkumpul pada Majlis Makan Malam Pra Gawai Dayak dan Ulang Tahun Ketujuh ABS 2026, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, sebagai sebuah negara terkenal dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya acara anjuran persatuan Anak Borneo Semenanjung (ABS) itu membuktikan semangat perpaduan di Malaysia masih utuh.
“Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa.
“Walaupun berbeza latar belakang, kita dapat berkumpul dalam suasana harmoni, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian sebagai satu kelebihan, bukannya perbezaan
yang memisahkan,” katanya ketika berucap bagi menyempurnakan majlis itu.
Menurutnya, sambutan Gawai Dayak yang bakal menjelang tiba adalah satu perayaan yang amat besar dan bermakna buat masyarakat Sarawak khususnya kaum Dayak sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta nikmat rezeki kurniaan tuhan.
Pada masa sama penghargaan turut diberikan kepada masyarakat Sabah yang meraikan pesta Kaamatan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian.
“Gawai Dayak mencerminkan keunikan budaya masyarakat kita, dari segi pakaian tradisional, tarian, muzik, makanan dan adat resam yang kaya dengan nilai-nilai murni.
“Perayaan ini juga menjadi medium untuk kita mendidik generasi muda agar terus menghargai dan mempertahankan identiti budaya mereka dalam arus pemodenan yang semakin pesat.
“Dalam konteks ini, usaha-usaha seperti penganjuran majlis pra-Gawai, pertandingan kebudayaan, dan aktiviti komuniti adalah sangat penting dalam memastikan warisan ini terus hidup dan berkembang,” katanya.
Mengulas mengenai peranan belia dalam memelihara budaya dan membina negara Mordi berkata golongan itu bukan sahaja pewaris warisan turun temurun malah pemangkin kepada pembangunan Malaysia pada masa hadapan.
Katanya, dalam konteks budaya belia memainkan peranan aktif dalam memartabakannya dan digesa menjadikan warisan kebudayaan sebagai kekuatan diri.
Sementara itu Presiden ABS, Ganging Ling Sanggau berkata pihaknya berharap dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Katanya, ABS sudah menjalinkam kerjasama strategik bersama Kementerian Perpaduan sejak tahun 2022 dan berharap dapat bekerjasama dengan KBS khususnya dalam aspek pembangunan belia.
“ABS merancang untuk mengadakan tiga program besar khusus untuk belia Sabah dan Sarawak di Semenanjung yang merangkumi aktiviti belia dan sukan serta kepimpinan dan keharmonian.
“ABS amat mengalu-alikan kerjasama jika dapat dilaksanakan bersama KBS. Untuk pengetahuan program ini akan memakan perbelanjaan yang agak tinggi, namun pada masa sama ia dapat mempromosikan dan memartabatkan warisan budaya Borneo,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




