Kuala Lumpur : Peluang melanjutkan pengajian ke luar negara kini semakin terbuka luas apabila pameran pendidikan ‘Study in Turkiye’ tampil agresif menarik minat pelajar Malaysia meneroka sistem pendidikan bertaraf antarabangsa.
Inisiatif yang digerakkan oleh SIT Connect bersama SIT Connect Asia itu menghimpunkan 15 universiti terkemuka dari Turkiye yang akan menjelajah beberapa lokasi bermula di Kuala Lumpur pada 28 April ini, diikuti Pulau Pinang (30 April), Brunei (2 Mei) dan Singapura (4 Mei).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIT Connect Asia, Hidayati Md Nor, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 pelajar dari Malaysia dan rantau ini melanjutkan pengajian ke Turkiye menjelang tahun 2030.
“Ketika ini, jumlah pelajar Malaysia di negara itu masih rendah iaitu sekitar 324 orang. Pameran ini adalah platform untuk bertanya secara terus tentang kursus, yuran, biasiswa sehingga 100 peratus dan kehidupan di sana,” katanya ketika ditemui media.
Hadir sama Presiden SIT Connect Asia, Mokhtar Ismail serta wakil SIT Connect dari Turkiye, Mahmoud Darwish dan Mohamed AboSaif.
Mahmoud menjelaskan bahawa Turkiye adalah pintu masuk ke Eropah, di mana pelajar berpeluang menyertai program pertukaran seperti Erasmus+ tanpa kos tambahan.
Universiti di sana menawarkan 45,000 program akademik yang diiktiraf di peringkat global.
Sementara itu, alumni Turkiye, Lina Shazlina Ahmad Adni berkongsi bahawa selain kemudahan makanan halal dan masyarakat yang mesra, peluang membina kerjaya di Eropah selepas tamat pengajian adalah antara kelebihan terbesar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




