am@hmetro.com.my
Slim River: Seramai 109 penduduk beberapa kampung terperangkap susulan banjir dan kepala air yang menyebabkan empangan di Kampung Ulu Slim, Slim Village, pecah lewat petang tadi.
Antara kampung terjejas, Kampung Sungai Bil, Slim Village; Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Slim Village; dan Kampung Pasir serta Eco Park Risda di Ulu Slim.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis menerima maklumat berlaku kepala air di Kampung Sungai Bil pada 6.46 petang, selain Empangan Kampung Ulu Slim pecah.
“Jumlah mangsa yang terperangkap di Kampung Sungai Bil seramai 50 orang, manakala 15 orang di Sir Zulkifli Campsite, sementara 25 orang di Kampung Pasir Ulu Slim dan Eko Park Risda Ulu Slim (19 orang),” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azizi berkata, sebanyak tiga jambatan runtuh membabitkan jambatan jalan utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong Sungai Bil.
Katanya, pasukan Balai Polis Slim Village bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula mendapati paras air naik kira-kira 0.5 meter di sembilan rumah penduduk akibat limpahan air sungai.
Menurutnya, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Masjid Jamek Kampung Pasir bagi menempatkan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




