Buenos Aires: Uruguay menangguhkan semua aktiviti bola sepak untuk hujung minggu ini kerana ‘keadaan kesihatan Juan Izquierdo yang kritikal’ selepas pertahanan Nacional itu mengalami masalah degupan jantung tidak teratur semasa perlawanan menentang Sao Paulo dalam Copa Libertadores.
Izquierdo, yang menggantikan Sebastian Coates pada separuh masa kedua, rebah dalam keadaan tidak sedarkan diri pada minit ke-84 tanpa berlanggar dengan pemain lain.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri, pemain berusia 27 tahun itu dibawa keluar dari padang dengan ambulans.
Dia sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Albert Einstein di Sao Paulo.
“Berdasarkan keadaan kesihatan pemain bola sepak Juan Izquierdo yang kritikal, kami memaklumkan keputusan kami untuk menggantung aktiviti bola sepak profesional yang dijadualkan untuk hujung minggu ini,” kata persatuan hak-hak pemain bola sepak profesional di Uruguay, Mutual (MUFP).
“Keutamaan kami pada masa ini adalah untuk menjaga kesejahteraan Juan, jadi kami akan memantau perkembangannya dengan teliti dalam beberapa jam akan datang,” tambah persatuan itu.
Nacional memuat naik di media sosial bahawa Izquierdo berada dalam keadaan stabil di hospital, di mana dia akan berada ‘di bawah pengawasan sekurang-kurangnya 72 jam akan datang’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




