Orang Melayu mesti hadap masa depan politik bangsa dengan yakin -Khaled Nordin

Orang Melayu mesti hadap masa depan politik bangsa dengan yakin -Khaled Nordin

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendukung pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Bin Hamidi berkenaan penegasan beberapa perkara.

Orang Melayu mesti yakin hadapi masa hadapan

Salah satunya adalah berkenaan orang Melayu mesti berhadapan dengan masa depan politik bangsa dengan  yakin.

Tegas beliau, tiada apa yang orang Melayu perlu takutkan walaupun jalan di masa hadapan semakin mencabar.

Pelbagai aspek kehidupan masa kini sudah berbeza dengan apa yang dihadapi UMNO terdahulu, beliau namun percaya bahawa parti UMNO adalah parti yang mendewasakan serta matang.

“Masakan dengan segala pengalaman dan pengetahuan yang kita miliki, kita boleh cepat melatah? Atau gemuruh? Atau masih lagi boleh dipengaruhi dengan omong-omong politik yang dangkal dan cetek.
Masakan kita yang selama ini diberi kepercayaan mengurus parti ini, langsung tidak mempunyai pemikiran dan kebijaksanaan, sehingga membiarkan kepentingan Melayu itu terbiar tanpa pembelaan,” ujarnya.

Khaled Nordin percaya Islam & Melayu tidak akan jatuh selagi adanya Raja Berpelembagaan

Ujar beliau lagi, tiada sesiapa dari Majlis Tertinggi UMNO mahu membiarkan Melayu menjunam dan Islam terancam.

Hal tersebut diyakini sama sekali tidak akan berlaku, lebih-lebih lagi dengan adanya Raja Berpelembagaan.

“Kita ada Raja Berperlembagaan. Kita ada pelbagai institusi kerajaan yang hampir semuanya diketuai oleh orang Melayu. Kita ada penjawat awam.
“Dan jangan lupa, kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
“Kesemua instrumen ini yang menjadi ekosistem dan benteng yang sangat kukuh dalam melindungi orang Melayu,” jelasnya.

Khaled Nordin harap seluruh Bangsa Melayu sambut seruan Presiden untuk bersungguh bangunkan ketahanan bangsa

Dalam pada itu, Datuk Seri Khaled turut berharap agar UMNO dan seluruh bangsa Melayu mesti menyambut seruan Presiden untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam membangunkan ketahanan bangsa Melayu melalui pendidikan dan kemahiran.

“Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, lebih kompetitif, lebih berilmu dan lebih global.
“Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.
“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Artikel lain: Khaled Nordin serah sumbangan kepada 40 penerima termasuk anggota ATM – MINDEF

Kementerian Pertahanan tidak akan berkromponi dalam segala hal libatkan Tanah Air

Menteri Pertahanan Malaysia berkenaan juga sempat menyentuh perihal Kementerian yang diterajui beliau dengan memberi jaminan bahawa tidak akan berkompromi dalam segala hal yang melibatkan kedaulatan Tanah Air.

“Selain menumpukan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota, warga ATM dan golongan veteran. Semua domain pertahanan nasional akan melalui transformasi dan pembaharuan secara besar-besaran tetapi terancang dalam beberapa tahun akan datang.
Semua ini adalah penting dan kritikal. Ini kerana, ancaman terhadap kedaulatan negara sangat kini hadir dalam bentuk yang sangat pelbagai, kompleks dan bersifat ‘multifacated’,” ujarnya.

UMNO perlu terus memerintah berdasarkan realiti politik kemajmukan

Ahli Parlimen Kota Tinggi berkenaan turut menyokong penuh pandangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid dengan memastikan UMNO terus bergerak dan memerintah bersandarkan realiti politik kemajmukan.

Katanya, kebanyakan ahli dan pendukung UMNO sangat faham dengan perkara tersebut kerana ia bukanlah baru untuk mereka atau dibuat secara tiba-tiba atas dasar keterpaksaan mahupun keterdesakan.

“Pendekatan ini adalah apa yang UMNO bidani sejak parti ini mula mentadbir negara dan bangsa kita seawal kemerdekaan.
Dari fikrah UMNOlah, kita wujudkan BN dan mengurus negara ini secara permuafakatan selama lebih enam dekad.
Walaubagaimanapun, pembaharuan strategi dan idea sangat perlu, ” ujarnya.

khaled nordin

Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Khaled bin Nordin itu adalah sewaktu melakukan ucapan penggulungan Naib Presiden UMNO Perhimpunan Agong UMNO 2024.

Beliau juga sempat merakamkan penghargaan kepada semua pembahas dan jurucakap di Perhimpunan Agong UMNO 2024 yang berlangsung bermula 21 Ogos hingga 24 Ogos 2024.

 

Scroll to Top