Dunia bola sepak ratapi pemergian Eriksson

Dunia bola sepak ratapi pemergian Eriksson

London: Putera William memuji Sven-Goran Eriksson sebagai “lelaki sejati” ketika ramai memberi penghormatan berikutan kematian bekas pengurus England itu, semalam.

Eriksson meninggal dunia dikelilingi oleh ahli keluarganya selepas mendedahkan pada Januari bahawa dia mempunyai tempoh “paling baik” setahun untuk hidup selepas disahkan menghidap kanser terminal.

Pengendali Sweden berusia 76 tahun itu adalah pengurus asing pertama England, membawa mereka mara ke suku akhir Piala Dunia pada 2002 dan 2006 dan mencapai peringkat yang sama di Euro 2004.

Selain lima tahun penuh warna-warni bersama England, Eriksson pernah mengendalikan beberapa kelab dan negara selama 42 tahun dalam bidang kejurulatihan.

Selaku peranannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Inggeris, Putera William bertemu Eriksson dalam banyak acara.

“Sedih mendengar mengenai pemergian Sven-Goran Eriksson. Saya bertemu dengannya beberapa kali sebagai pengurus England dan sentiasa terpesona dengan karisma dan semangatnya untuk bola sepak.

“Doa saya sentiasa bersama dengan keluarga dan rakan-rakannya. Seorang lelaki sejati dalam bola sepak,” tulisnya di X.

Walaupun Eriksson tidak dapat menamatkan penantian England untuk trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966, pasukannya menghasilkan beberapa persembahan yang tidak dapat dilupakan, termasuk membelasah Jerman 5-1 dalam kelayakan Piala Dunia pada 2001.

“Ia adalah hari yang sangat menyedihkan. Dia memberikan kenangan istimewa kepada semua penyokong England. Tiada siapa yang boleh melupakan kemenangan 5-1 di Munich menentang Jerman di bawah bimbingan Sven,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FA, Mark Bullingham.

Bullingham menambah: “Sven akan diiktiraf dan diingati selama-lamanya kerana tugas pentingnya bersama pasukan England dan sumbangannya yang lebih luas dalam bola sepak.

“Dia akan dirindui dan kami akan memberi penghormatan kepadanya apabila kami menentang Finland di Wembley bulan depan.”

‘Generasi emas’ England mungkin kurang pencapaian pada era Eriksson tetapi dia cukup dihormati oleh barisan pemainnya.

Bekas penyerang Liverpool, Michael Owen berkata: “Rehat dalam damai di sana Sven-Goran Eriksson. Salah seorang yang terbaik dan akan dirindui oleh semua pihak dalam dunia bola sepak.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top