Usah pandan rendah wibawa Filipina – Wan Jamak

Usah pandan rendah wibawa Filipina – Wan Jamak

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun ranking skuad Harimau Malaya lebih tinggi berbanding Filipina, pemain negara diingatkan agar tidak memandang mudah lawan dalam perlawanan di saingan Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Rabu ini.

Bekas pemain negara, Wan Jamak Wan Hassan berkata, walaupun Harimau Malaysia berada di ranking ke-134 manakala Filipina di ranking ke-147, skuad The Azkals yang dilimpahi majoriti tonggak warisan serta naturalisasi berpengkalan di Eropah memiliki kekuatan fizikal yang mampu memerangkap pasukan negara.

Katanya, kedudukan ranking lebih tinggi bukan jaminan kemenangan mampu dilakar dan beliau menyeru agar pemain tidak ‘berpeluk tubuh’ atau cuba memalukan diri di depan penyokong sendiri.

“Setiap tahun kita dapat lihat pasukan di Asia Tenggara cuba meningkatkan prestasi pasukan masing-masing dengan pelbagai cara termasuk mencari pemain berdarah kacukan.

“Pasukan Filipina bukan mudah untuk kita jinakkan, perkara ini perlu diteliti. Kalau kita ada pemain warisan, mereka pun sama, malah lebih ramai lagi pemain bertaraf itu.

“Setiap pemain negara perlu fokus dan perlu membuktikan kebolehan masing-masing. Jangan malukan diri (tewas) apabila menentang Filipina nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain pertemuan antara Malaysia dan Filipina, kempen Pestabola Merdeka turut menyaksikan pertembungan membabitkan Lubnan dan Tajikistan dan pemenang dalam kedua-dua aksi itu akan mara ke final.

Aksi final akan diadakan pada Ahad ini di SNBJ dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan anak buah Pau Marti Vicente muncul juara.

Wan Jamak yang juga bekas jurulatih skuad Harimau Malaya turut mengakui Vicente pasti akan meneruskan legasi ditinggalkan Kim Pan-gon sebelum ini.

“Saya fikir Vicente akan teruskan kesinambungan yang ditinggalkan Pan-gon kerana kita kena ingat Vicente sebelum ini adalah penolong kepada Pan-gon.

“Barisan pemain yang dipanggil tak banyak berubah. Jadi saya fikir beliau (Vicente) akan meneruskan rentak sama, cuma mungkin ada mahu diperbaiki yang sebelum ini tidak boleh dilakukannya.

“Beliau pastinya mahukan kemenangan untuk membuktikan pemilihannya sebagai jurulatih tepat dan beliau sudah tentu mahu terus membimbing pasukan untuk tempoh lama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top