El Niño: Malaysia-Indonesia gandakan usaha bendung jerebu

PUTRAJAYA – Malaysia dan Indonesia bersetuju melipatgandakan usaha pencegahan serta pemadaman awal kebakaran hutan dan tanah susulan fenomena El Niño yang dijangka semakin menguat menjelang Oktober ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, TYT Jumhur Hidayat, pada Isnin.

Menurutnya, perbincangan turut menyentuh situasi cuaca panas serta isu jerebu merentas sempadan yang sedang melanda rantau ini.

“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Republik Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo yang melipatgandakan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah (karhutla),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, usaha Indonesia itu termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah water bombing serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan.

Arthur berkata, persediaan menghadapi El Niño menjadi semakin penting memandangkan fenomena itu dijangka semakin menguat menjelang Oktober 2026, serentak dengan Monsun Barat Daya.

Katanya, kedua-dua negara komited melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi memastikan kualiti udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Malaysia bersedia membantu Indonesia pada bila-bila masa sekiranya bantuan diperlukan, khususnya dalam usaha pemadaman segera kebakaran.

“Sekiranya terdapat keperluan khusus daripada Indonesia, perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mendapatkan ketetapan selanjutnya,” jelas beliau.

Sementara itu, Arthur merakamkan penghargaan kepada Indonesia atas persetujuan dan kebenaran rasmi yang diberikan untuk merentasi ruang udara Indonesia bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini sedang merangka jadual operasi sebelum diselaraskan bersama Panglima TNI.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau rapi pergerakan titik panas dan kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta MET Malaysia.

“Pada masa sama, hubungan erat bersama pihak berkuasa Indonesia akan terus dikekalkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Scroll to Top