am@hmetro.com.my
Shah Alam: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang dua perangkap dengan umpan segar bagi menangkap seekor buaya di Taman Tasik Seksyen 7, di sini, hari ini.
Kedua-dua perangkap termasuk satu dipinjam dari Perhilitan Negeri Sembilan dipasang berhampiran tebing tasik berkenaan menerusi Op Buaya Shah Alam.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata jarak bagi setiap perangkap adalah kira-kira lima meter dari tebing tasik.
Katanya, kedudukan perangkap itu diputuskan selepas pihaknya mengenal pasti laluan aktif buaya berkenaan hasil pemantauan dilakukan selama 24 jam.
“Perangkap ini kita pasang dengan umpan segar iaitu ayam. Untuk operasi ini kita guna dua perangkap yang mana satu dipinjam dari Perhilitan Negeri Sembilan.
“Hasil pemerhatian kita setakat ini mendapati hanya ada seekor buaya di tasik ini dipercayai buaya tembaga dengan anggaran sepanjang 1.5 meter.
“Berdasarkan apa yang kita lihat perilaku buaya ini adalah pergerakan tidak berapa jauh daripada tebing antara tiga hingga lima meter,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Adib berkata, operasi tangkap buaya boleh mengambil masa sehingga sebulan berdasarkan pengalaman jabatan itu sebelum ini dengan kali terakhir operasi dilakukan di Serendah.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada perilaku buaya tersebut, keadaan sekeliling dan jumlah makanan dalam sesuatu lokalitinya.
“Kejayaan sesebuah operasi hidupan liar masuk perangkap itu apabila haiwan itu kurang terganggu dan rasa selamat, jadi lebih cepat ia masuk perangkap.
“Buaya itu boleh berada di sini sebab ada sumber makanan termasuk ikan,” katanya.
Beliau berkata, perilaku buaya di tasik berkenaan dilihat kerap timbul sekali gus memudahkan pemantauan dilakukan pihaknya.
“Siasatan mendapati buaya ini sudah berada di tasik ini sejak 18 Ogos lalu hasil keterangan daripada individu yang merekod video kehadiran buaya itu yang kemudiannya disahkan kami hasil pemantauan di tasik ini.
“Di sini ada lima saluran air keluar masuk dan kita mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam memastikan laluan diletakkan jaring bagi mengelakkan buaya itu terlepas keluar dari tasik ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pengunjung sekitar Tasik Seksyen 7 di sini diingatkan supaya tidak mendekati kawasan tebing tasik susulan seekor buaya di lokaliti berkenaan.
Buaya tersebut berkemungkinan sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




