Bakat cilik Anggrek meletup

Bakat cilik Anggrek meletup

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Tirai persaingan program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) tiba ke penamat apabila pengurus, Adira Suhaimi dan anaknya, Anggrek, 9, merangkul gelaran juara menewaskan cabaran empat peserta lain.

Anggrek yang dilabel sebagai bakat cilik nyata hebat dalam nyanyian dan tarian rancak walaupun daripada segi vokal masih perlu diperbaiki.

Berbicara kejayaan Anggrek, semestinya satu kejutan besar apabila anak kecil sepertinya mampu menumpaskan peserta lain yang dewasa termasuk mempunyai vokal mantap.

Adira yang juga penyanyi berkata, kemenangan Anggrek itu diperoleh hasil usaha gigih yang tidak jemu berlatih dari pagi, petang, siang dan malam tanpa merungut atau mengadu keletihan.

“Semua yang Anggrek buat dan persembahkan atas pentas itu adalah kehendaknya kerana minat mendalam. Saya sebagai ibu sekadar ‘guide’ dia untuk lakukan lebih baik mengikut kemampuan diri sendiri.

“Anggrek memang saya beri kebebasan kerana dia pun masih kecil dan kanak-kanak. Saya tidak pernah memaksa dia (Anggrek) kerana tidak mahu memberi tekanan dan kami hanya ‘go with the flow’ (ikut arus) sahaja.

“Tetapi, saya lihat Anggrek sangat berminat dan seronok bila dia buat persembahan atas pentas. Jadi, saya beri dorongan dan semangat untuk berusaha sehabis baik,” katanya selepas acara ‘grand finale’ TTMM 2, baru-baru ini.

Berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), acara hiburan membabitkan penyertaan ibu atau bapa selebriti yang bertindak sebagai pengurus bersama anak masing-masing berentap selama 10 minggu.

Naib juara TTMM 2 menjadi milik Hussain bersama pengurusnya, Jamilul Hayat, diikuti tempat ketiga diraih Cik B dan Datuk Seri Vida.

Manakala, tempat keempat menjadi milik Azeva Natassha bersama ibunya Datuk A Aida dan Safura serta anaknya, Kim Khairii berada di tempat kelima.

Mengulas lanjut, Adira berkata, dia gembira dan menerima dengan hati terbuka apabila bakat seni anak perempuannya disukai ramai, namun pelajaran tetap menjadi keutamaan.

“Terima kasih kerana suka dan menyokong Anggrek. Namun, saya juga ingin ingatkan kepada ibu bapa dan anak-anak semua agar fokus kepada pelajaran. Pada saya, pendidikan sangat penting.

“Apatah lagi, Anggrek adalah anak sulung daripada empat beradik yang masih kecil. Jadi, semestinya tanggungjawab dia sebagai kakak perlu rajin belajar dan meraih pencapaian terbaik pelajaran. Ilmu itu keutamaan saya.

“Saya melihat perjalanan Anggrek dalam karier seni masih panjang. Biar dia membesar mengikut peningkatan usia. Seakat ini, Alhamdulillah sikap dia kekal Anggrek yang kanak-kanak,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan lagu solo buat Anggrek, katanya, dia mahu anaknya mendapat lagu yang sesuai mengikut usianya supaya momen indah menjadi kanak-kanak dikekalkan sebelum tiba usia remaja.

“Saya tidak mahu Anggrek membesar tidak seiring usia. Bagi saya, wajar untuk dia (Anggrek) ‘enjoy’ dengan kehidupan di waktu kecil sebagaimana saya dulu. Sebabnya, masa yang berlalu tidak akan berulang.

“Apatah lagi, walaupun kita boleh kata usia itu adalah angka sahaja, tetapi apa yang realiti dalam kehidupan perlu saya pertahankan. Saya tidak mahu Anggrek membesar sebelum tiba usia sepatutnya,” katanya.

Katanya, tujuan dia menerima tawaran menyertai TTMM 2 kerana mahu memberi pendedahan serta pengalaman sebenar kepada Anggrek yang meminati sen, sekali gus dapat menimba banyak ilmu.

Pada pentas akhir ‘grand finale’ TTMM 2 itu, Anggrek tampil penuh bertenaga mempersembahkan lagu solo, Aku Stacy nyanyian asal Stacy Anam dan lagu Sutera duet bersama penyanyi, Aisha Retno.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top