Gelombang haba ekstrem landa Eropah

Gelombang haba ekstrem landa Eropah

PARIS – Pihak berkuasa Perancis mengharamkan pengambilan minuman beralkohol di tempat awam selain memberi amaran hospital mula mengalami kesesakan luar biasa susulan gelombang haba ekstrem terus melanda sebahagian besar Eropah.

Amaran itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa kesihatan di blok berkenaan turut melaporkan peningkatan mendadak kes kecemasan akibat cuaca panas melampau.

Sekurang-kurangnya 101 juta penduduk Eropah dilaporkan berdepan suhu melebihi 35 darjah Celsius manakala gelombang haba yang memecahkan rekod itu dipercayai telah mengorbankan puluhan nyawa.

Golongan muda menyejukkan badan di terusan Saint-Martin di Paris.

Golongan muda menyejukkan badan di terusan Saint-Martin di Paris.

Perkhidmatan kesihatan di Perancis dan Britain melaporkan lonjakan panggilan kecemasan serta kemasukan pesakit ke hospital khususnya melibatkan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.

Perancis dan Sepanyol turut merekodkan beberapa kematian akibat cuaca panas melampau termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut selepas terperangkap di dalam kereta keluarganya.

“Kita kini menghampiri tahap kapasiti maksimum hospital. Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan strok haba terus meningkat,” kata Ketua Polis Paris, Patrice Faure.

Orang ramai menyejukkan badan dengan mandi di kolam air pancut Trocadéro berhampiran Menara Eiffel.

Orang ramai menyejukkan badan dengan mandi di kolam air pancut Trocadéro berhampiran Menara Eiffel.

Sementara itu, Pejabat Menteri Kesihatan Perancis, Stéphanie Rist memaklumkan sebanyak 25 kes serangan jantung direkodkan di ibu kota dalam tempoh 24 jam pada Rabu berbanding 10 kes sehari ketika suhu normal sebelum ini.

Di peringkat nasional pula, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan kecemasan akibat cuaca panas meningkat hampir empat kali ganda.

Di London, perkhidmatan ambulans memaklumkan cuaca panas melampau pada pertengahan minggu ini mencatatkan jumlah panggilan kecemasan yang mengancam nyawa tertinggi dalam tempoh sehari.

Krisis iklim semakin ketara

Sekumpulan remaja terjun dari Jambatan Passerelle des Ardennes ke Bassin de la Villette di Paris.

Sekumpulan remaja terjun dari Jambatan Passerelle des Ardennes ke Bassin de la Villette di Paris.

Berdasarkan unjuran Perkhidmatan Meteorologi Jerman dan Pusat Penyelidikan Bersama Kesatuan Eropah (EU), lebih 380 juta penduduk dijangka berdepan suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Ketua Iklim Pertubuhan Bangsa-BangsaSimon Stiell berkata, gelombang haba itu jelas menunjukkan kesan krisis iklim yang semakin membimbangkan.

“Selagi manusia terus membakar arang batu, minyak dan gas dalam jumlah besar, cuaca panas melampau akan menjadi semakin buruk,” katanya.

Di sebuah pusat penyejukan komuniti di barat London, seorang lelaki kurang upaya berusia 45 tahun dikenali sebagai Alley berkata, cuaca di luar ‘terasa seperti membakar’.

Katanya, ketika gelombang haba bulan lalu, dia dimasukkan ke hospital selepas ubat tekanan darahnya tidak lagi berkesan akibat suhu yang terlalu tinggi.

Fenomena ‘kubah haba’

Seorang wanita berlindung daripada terik matahari menggunakan payung berhampiran sebuah air pancut di Dataran Place de la Concorde, Paris.

Seorang wanita berlindung daripada terik matahari menggunakan payung berhampiran sebuah air pancut di Dataran Place de la Concorde, Paris.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, Samantha Burgess berkata, cuaca panas melampau itu berpunca daripada fenomena ‘kubah haba’ yang memerangkap udara panas dari Afrika Utara di bawah sistem tekanan tinggi, sekali gus menghalang kemasukan udara yang lebih sejuk.

Di England, suhu di Yeovilton mencecah 36.4 darjah Celsius pada Khamis, menjadikannya hari paling panas pernah direkodkan bagi bulan Jun.

Seorang penghuni pusat jagaan warga emas di barat London, Lucine Nazikian berkata, masyarakat perlu memandang serius ancaman perubahan iklim.

“Alam semula jadi seperti ‘memberontak’ akibat kerakusan manusia memusnahkan alam sekitar,” katanya.

Suhu di Eropah Barat dijangka mula menurun bermula Jumaat, namun beberapa negara di Eropah Timur masih berada pada tahap amaran merah kerana suhu diramalkan meningkat menjelang hujung minggu ini. – AFP/SUMBER FOTO: AFP

Scroll to Top