Misi baharu Elite

Misi baharu Elite

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tanpa gimik, kumpulan penyanyi wanita yang cukup popular suatu ketika dahulu, Elite, tiba-tiba mengumumkan mereka bergabung selepas 20 tahun membawa haluan sendiri.

Apa yang menarik, gandingan itu menyaksikan penyatuan semula semua anggota asal Elite iaitu Azza, Linda, Abby Abadi, Watie dan Sasha.

Walaupun mereka masih lagi aktif dalam bidang seni dan Elite belum berkubur apabila ada antara ahli masih aktif membuat persembahan bersama, namun, untuk semua anggota asal bergabung dan merakamkan lagu baharu, ia dianggap berita yang cukup menggembirakan peminat tegar.

Namun, apa yang menimbulkan tanda tanya adalah penampilan terbaharu Elite menggayakan fesyen muslimah walaupun dua anggota mereka iaitu Watie dan Sasha diketahui masih belum berhijab.

Keputusan untuk menghasilkan single berkonsepkan ketuhanan berjudul Alhamdulillah seolah-olah membayangkan Elite seperti mahu mengubah arah menjadi kumpulan nasyid.

Menjawab pertanyaan itu, Linda menjelaskan, Elite bukanlah mahu menjadi kumpulan nasyid seperti disangka.

Sebaliknya, persetujuan mereka untuk menyanyikan lagu berunsur ketuhanan adalah kerana mahu memberi mesej bermanfaat buat peminat, selain sesuai dengan imej sesetengah anggota kumpulan berkenaan.

“Kemunculan semula kami ini bukan lagi hendak mengejar populariti atau meraih keuntungan. Ia lebih kepada mahu mengajak semua ke jalan kebaikan.

“Kalau boleh, kita hendak buat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada semua orang.

“Sekarang, apabila kita hendak buat sesuatu, kena fikir juga untuk saham akhirat. Justeru, apabila kami semua tampil berhijab dan merakamkan lagu kerohanian, bukanlah bermakna kami hendak menjadi kumpulan nasyid tetapi sekadar ingin menyampaikan sesuatu kepada peminat.

“Manalah tahu, suatu hari nanti terbuka pintu hati Watie dan Sasha untuk tampil mengenakan hijab,” kata Linda ketika ditemubual kapsul hiburan BHTV, Apa Kes pada majlis pelancaran single Alhamdulillah di KRU HQ, Skypark@Cyberjaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim.

Lama tidak muncul membuat persembahan bersama dan merakamkan lagu baharu, pasti ramai yang memandang sinis usaha Elite. Malah, mungkin ada yang mempertikaikan kemampuan mereka menyanyi secara langsung.

Mengulas tanggapan nakal itu, Watie mengakui tugas itu bukan mudah kerana ada di antara mereka sudah lama tidak beraksi di pentas nyanyian.

Namun, cabaran itu sedikit pun tidak melemahkan mereka untuk memberikan yang terbaik terhadap lagu berkenaan.

“Tidak dinafikan, apabila lama tidak masuk studio, proses rakaman menjadi agak mencabar. Mujur kami sudah biasa bekerjasama dengan jurutera bunyi yang ditugaskan untuk menjaga vokal.

“Jadi semua urusan rakaman lancar. Semalam dapat lagu, hari ini selesai rakaman.

“Walaupun kami menyanyi lagu bercorak ketuhanan, namun, tanda dagang Elite iaitu menyanyi rap masih lagi dikekalkan,” katanya.

Sempat juga Elite menyanyikan beberapa baris lirik lagu ciptaan Noura dan Rayyan Rayhan itu sebagai bukti mereka masih mampu menyanyi secara langsung.

Seperkara yang menarik mengenai penyatuan semula kumpulan yang popular dengan lagu Tamparan Wanita dan Trauma ini adalah kejayaan mereka memujuk Abby untuk bersama-sama menjayakan projek khas yang diatur sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan Elite.

Enggan mengambil endah kata-kata netizen yang pasti mempertikaikan keputusannya itu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menegaskan dia teruja untuk menyertai gabungan ini adalah atas dasar persahabatan yang sudah terjalin sekian lama antara mereka.

“Jujurnya saya sangat rindu dengan hubungan kami selama ini. Tak sangka sudah 25 tahun Elite ditubuhkan.

“Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai gabungan ini dan lagu yang diberikan juga sangat menarik kerana membawa mesej kebaikan, saya tak ambil masa yang panjang dan terus bersetuju.

“Pada saya, rugi jika saya tidak ambil peluang ini untuk bersama kawan-kawan dan menyebarkan kebaikan. Allah sudah bukakan jalan, jadi saya ambil peluang itu,” ujarnya yang juga semakin aktif berlakon.

Tambah Abby, tidak ada sebab untuk dia melupakan bidang seni walaupun sudah berhijrah kerana keputusan untuk berubah adalah kerana mahu menjadi seorang Islam yang lebih baik.

“Saya tak pernah kata tidak mahu menyanyi atau berlakon. Cuma saya ingin berubah menjadi lebih baik.

“Saya juga tak pernah beritahu kalau nak jadi Islam yang baik, tak boleh berlakon atau terbabit dalam aktiviti seni.

“Namun, apa sahaja yang saya lakukan, tetap ada batasannya kerana Allah sudah beri petunjuk.

“Bagi saya, segala kesalahan yang pernah saya lakukan dulu tidak akan berulang lagi. Buat apa hendak buat benda yang salah berulang kali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top