JPJ tambah baik perkhidmatan kaunter, elak pelanggan tunggu lama

JPJ tambah baik perkhidmatan kaunter, elak pelanggan tunggu lama

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil beberapa langkah penambahbaikan terutama berkaitan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter bagi mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu yang lama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu diberi perhatian susulan lawatannya ke Kaunter JPJ Cawangan Galeria, Putrajaya pada 2 September lalu.

Katanya, JPJ akan menyediakan pegawai pemudahcara bagi membantu pelanggan dalam urus niaga yang boleh dibuat secara atas talian.

“Pegawai tersebut akan menyantuni pelanggan yang sedang beratur untuk mengetahui urus niaga yang hendak dibuat. Sekiranya urus niaga boleh dibuat secara online, pegawai akan guide (beri panduan) kepada pelanggan.

“Dengan ini, pelanggan tidak perlu beratur mengambil nombor giliran dan tidak perlu berurusan di kaunter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Aedy lagi, pelanggan juga diggalakkan agar membuat urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara online melalui aplikasi MyJPJ dan portal mySIKAP.

Katanya, JPJ turut menambahbaik Sistem JPJeQ untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan Kod QR dan boleh berada di mana-mana sementara menunggu nombor giliran tiba.

Jelas beliau, pelanggan juga akan menerima notifikasi status nombor giliran secara terus melalui telefon pintar.

Selain itu, katanya, JPJ turut akan melaksanakan pindaan Posedur Operasi Standar (SOP) bagi urus niaga berkaitan pelesenan kenderaan dan pelesenan pemandu yang melibatkan dokumen/borang fizikal untuk digantikan dengan e-dokumen/eborang yang boleh dilengkapkan lebih awal oleh pelanggan sebelum berurusan di kaunter JPJ.

“Kami berharap penambahbaikan yang akan dilaksanakan ini dapat mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu di kaunter JPJ seterusnya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan JPJ.

“JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang mesra pelanggan dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat selari dengan hasrat Perdana Menteri iaitu Reformasi Perkhidmatan Awam bagi memastikan kecemerlangan penyampaian Perkhidmatan Awam,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top