suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah motosikal Yamaha 135LC ‘kantoi’ menggunakan nombor pendaftaran sebuah kereta BMW antara yang dikesan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Ampang, di sini, awal pagi ini.
Operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bermula kira-kira jam 2 pagi hingga jam 5 pagi.
Tinjauan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati beberapa penunggang motosikal dikesan melakukan pelbagai kesalahan terutama membabitkan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan dan tiada lesen memandu.
Selain itu, terdapat juga penunggang yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan, namun berjaya ditahan pihak berkuasa.
Motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran sebuah kereta BMW itu difahamkan milik bapa kepada remaja perempuan berusia 17 tahun dari Rawang, namun ditunggang teman lelakinya yang berusia 18 tahun.
“Motosikal ini ayah saya punya. Selalunya kawan lelaki saya yang bawa sebab saya tak ada lesen.
“Ayah saya beli motosikal itu di Tanjung Malim empat bulan lalu,” katanya kepada Harian Metro.
Remaja terbabit berkata, dia tidak mengetahui mengenai nombor pendaftaran yang digunakan pada motosikal berkenaan.
Menurutnya, dia bersama teman lelakinya keluar pada malam berkenaan kerana menghadiri sambutan hari jadi keluarga.
“Ini kali pertama saya ditahan macam ni, baru balik dari sambutan keluarga teman lelaki saya dekat sini. Lepas tu jalan-jalan, jadi balik lambat,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Alif, 19, dari Cheras cuba melarikan diri ketika dikejar pihak berkuasa.
Dia bagaimanapun ditahan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap motosikal berkenaan.
“Masa nampak polis tu saya terus takut dan panik, jadi saya lari dengan teman wanita,” katanya.
Pemeriksaan mendapati cukai jalan motosikal berkenaan sudah tamat tempoh dan tiada insurans, selain brek belakang tidak berfungsi.
Sementara itu, seorang lagi remaja lelaki yang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikesan menunggang motosikal milik bapanya dengan ekzos yang diubah suai.
Katanya, pengubahsuaian itu dilakukan atas kehendaknya sendiri kerana mahu mendapatkan bunyi ekzos kerana ikut saranan kawan.
“Saya tukar ekzos tu saja sebab nak bagi bunyi sedap,” katanya.
Operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan motosikal yang melakukan pengubahsuaian serta kesalahan berkaitan dokumen dan nombor pendaftaran kenderaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




