Sokong tolak politik tidak pentingkan rakyat – Wan Saiful

Sokong tolak politik tidak pentingkan rakyat – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa politik yang bertujuan menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya tanpa menghiraukan rintihan rakyat, perlu ditolak.

Wan Saiful berkata pandangan itu adalah ketegasan yang melambangkan keprihatinan terhadap nasib rakyat.

“Dalam suasana hari ini, kita perlukan keikhlasan dan kejujuran untuk menyantuni dan membantu rakyat. Bukan retorik lakonan seolah-olah ikhlas dan jujur, tetapi sebenarnya hanya mahu membolot kuasa untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menerusi hantaran di Facebook miliknya berkata PAS menegaskan parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada Muafakat Nasional (MN) yang asal.

Pada masa sama Abdul Hadi berkata parti itu juga menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top