zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu sedar mengenai kepentingan mereka mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19, penting untuk membantu memulihkan ekonomi negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, jumlah mereka yang mendaftar bagi mendapatkan imunisasi itu masih rendah, berbanding yang layak berbuat demikian bagi mendapatkan suntikan berkenaan.
Katanya, sehingga semalam, lebih 7.6 juta daripada 26.7 juta rakyat yang layak, sudah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin itu di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Bagaimanapun, jumlah itu masih kecil berbanding dengan keseluruhan rakyat dan bukan warga negara yang berada di Malaysia, yang wajar mendapat suntikan vaksin yang kita laksanakan kini.
“Pastinya ini penting untuk kita menentukan tahap pencapaian bagi mengawal wabak COVID-19 dengan lebih berjaya dan dalam keadaan yang sama, kita dapat memulihkan ekonomi negara dengan lebih pesat lagi.
“Ada hubungan antara pelaksanaan rancangan vaksinasi dengan pemulihan ekonomi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Derma Darah 2021 anjuran Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCGF) di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




