NIBONG TEBAL – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merangka strategi masa panjang sebagai usaha untuk membina pembangunan tenaga kerja yang mampan untuk masa hadapan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ia bagi menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment) yang semakin meruncing dalam kalangan graduan tempatan.
“Semenjak pandemik, isu guna tenaga tidak penuh telah meningkat dengan ketara. Pada suku tahun kedua tahun ini, kadar guna tenaga tidak penuh mencatatkan 37 peratus, berbanding 32.8 peratus pada suku tahun kedua 2019.

“Bakat yang sepatutnya ditempatkan dalam industri berkemahiran STEM dan TVET atau di universiti kini tidak berada di tempat yang sepatutnya. Ramai graduan kekurangan maklumat dan kemahiran khusus, seperti kemahiran insaniah, yang diperlukan untuk transisi dari pengajian ke pekerjaan.
“Jika tidak ditangani, isu ini berpotensi menjadi masalah jangka panjang yang serius bagi negara,” katanya ketika berucap pada program YES! Rock the School Mega Penang 2024 di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Steven Sim berkata, dengan anggaran lima peratus daripada tenaga kerja iaitu kira-kira 750,000 pekerja, berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh.
“Jika produktiviti mereka berkurang sebanyak 20 peratus kerana kemahiran yang tidak sesuai, negara mungkin kehilangan produktiviti setara dengan 150,000 pekerja.

“Ini berpotensi menyebabkan penurunan pertumbuhan KDNK sebanyak satu hingga 1.5 peratus atau sekitar US$ 4.2 bilion hingga US$ 6.3 bilion dalam output ekonomi setiap tahun.
“Bagi menangani cabaran ini, KESUMA melalui TalentCorp melancarkan inisiatif YES! Rock the School yang bertujuan untuk melengkapkan anak-anak muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam laluan kerjaya mereka, seterusnya memperkukuh tenaga kerja masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan kerana memberi ruang dan kepercayaan kepada KESUMA untuk membantu membangunkan tenaga kerja negara masa hadapan. – MalaysiaGazette