Dominasi Eropah terancam

Dominasi Eropah terancam

Gainesville, Amerika Syarikat: Kejayaan Eropah menjuarai Piala Solheim sejak beberapa tahun lalu berdepan ancaman Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kelebihan tempat sendiri.

Menurut kapten Eropah Suzann Pettersen, mereka lebih suka dianggap pasukan bukan pilihan walaupun berpeluang memburu kejuaraan keempat berturut-turut di kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Robert Trent Jones Golf di Gainesville, Virginia, Ahad ini.

“Beraksi di tempat lawan, anda selalunya dianggap bukan pilihan,” katanya kepada wartawan.

“Itu yang kami nampak ketika ini. Jika anda lihat pada tiga edisi sebelum ini, kami tampil prestasi terbaik dan akan cuba meneruskannya. Tetapi pada masa sama, beraksi di tempat lawan membuatkan kami lebih suka tekanan itu berpindah ke bahu AS kerana mereka bermain di tempat sendiri susulan harapan tinggi penyokong.”

Pasukan veteran Eropah itu mempertahankan trofi selepas keputusan terikat 14-14 di Sepanyol tahun lalu.

Sepuluh pemain Eropah daripada skuad terbabit akan disertai muka baharu Esther Henseleit dan Albane Valenzuela. Menurut Suzann, dia lebih suka dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman.

Perlawanan pada Ahad ini menampilkan 12 aksi perseorangan di mana Eropah cuba melebarkan rekod kemenangan ke atas AS yang mahu menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top