Slot sedia lakukan penggiliran pemain

Slot sedia lakukan penggiliran pemain

London: Arne Slot bersedia untuk melakukan penggiliran pemain ketika pengurus Liverpool itu bakal berdepan cabaran di saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Skuad bimbingan Slot akan melayan kunjungan Nottingham Forest, esok, pada perlawanan pertama daripada tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari sebelum bertandang ke AC Milan untuk aksi pembuka tirai Liga Juara-Juara, Rabu ini.

Pengurus dari Belanda itu hanya membuat satu pertukaran daripada barisan pemain utamanya dalam tiga perlawanan pertama sejak menggantikan Jurgen Klopp.

Percaturan Slot membuahkan hasil apabila Liverpool dengan mudah meraih kemenangan ke atas Ipswich, Brentford dan Manchester United.

Semasa menjadi pengurus Feyenoord, Slot tidak gemar melakukan perubahan, sebaliknya beliau lebih suka mengekalkan pasukan yang stabil.

Namun, ketika itu beliau tidak mempunyai skuad yang besar seperti di Anfield sekali gus bersedia untuk mengubah falsafahnya dalam menghadapi jadual padat Liverpool.

“Pasukan saya sebelum ini mampu bermain hampir setiap perlawanan dengan pemain yang sama, tetapi kali ini adalah liga yang berbeza, jadi saya mungkin perlu menyesuaikan diri.

“Namun, ia juga bergantung kepada apa yang mereka tunjukkan daripada aspek fizikal.

“Pada tiga perlawanan pertama, kami sangat kuat daripada aspek fizikal, tetapi kami hanya bermain satu perlawanan setiap tujuh hari. Kini mereka perlu membuktikan sesuatu,” kata Slot kepada wartawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top