am@hmetro.com.my
Jitra: Cuti hampir 800 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kedah dibekukan berikutan situasi banjir, selain jangkaan fenomena air pasang besar dalam tempoh dua atau tiga hari berikutnya.
Pengarah JBPM Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata, tindakan itu sebagai satu daripada langkah berjaga-jaga diambil pihaknya dalam mendepani apa sebarang situasi melanda negeri ini.
“Kita sudah membekukan cuti semua pegawai dan anggota bermula hari ini, esok dan lusa, selain persiapan kita terarah pada balai bomba yang berdekatan dengan sungai utama iaitu Sungai Bata dan Kota Setar.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan akan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh sehari dua ini,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara hasrat untuk membawa keluarga bercuti atau berkelah di kawasan pantai mahu pun sungai buat masa ini.
Dalam pada itu, semakan di laman web MetMalaysia menunjukkan jangkaan ribut petir di beberapa kawasan akan berterusan hingga Isnin depan.
Ketinggian ombak bermula hari ini hingga Isnin depan dijangkakan antara 1.5 hingga 3.5 meter manakala kelajuan angin antara 30 hingga 40 kilometer sejam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




