am@hmetro.com.my
Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menebang 86 pokok sakit di bahagian pulau negeri ini kerana dikhuatiri mengancam keselamatan awam setakat Ogos lalu.
Manakala, sejumlah 27 lagi pokok dikenal pasti untuk ditebang bermula minggu depan.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A Rajendran berkata pokok terbabit berusia 60 hingga 80 tahun dengan kebanyakan spesies angsana dan hujan-hujan.
Menurutnya, pokok-pokok terbabit dikesan mengalami masalah akar terbantut menyebabkan ia tidak stabil dan berisiko tumbang ketika angin kencang serta hujan lebat.
“Kita mengutamakan keselamatan nyawa kerana keadaan pokok-pokok berkenaan semakin lama semakin besar dan tinggi, tetapi pembesaran akarnya terbantut kerana ruang sempit kerana berdekatan parit dan jalan.
“Jadi, akar yang kecil dan tidak tumbuh dengan sihat ini tidak dapat menampung saiz pokok yang besar selain menyebabkannya tidak stabil dan berisiko tumbang jika angin bertiup secara melintang walaupun pemangkasan dahan dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Rajendran berkata, MBPP juga sedang mempertimbangkan menebang sejumlah 54 pokok yang dikesan tidak sihat hasil penilaian 1,321 pokok berisiko di Jalan Utama, Jalan Perak dan Jalan Macalister pada masa akan datang.
Menurutnya, secara keseluruhan MBPP menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas 13,995 pokok di bahu jalan setakat ini membabitkan peruntukan sebanyak RM4.3 juta pada tahun ini.
“Bagi menganalisis keadaan kesihatan pokok, MBPP melantik pakar Arboris selain turut mendapat kerjasama Institut Jurutera Malaysia bagi memberi khidmat rundingan dalam pengurusan struktur dan kestabilan pokok,” katanya.
Katanya, Skuad Pantas MBPP juga diarahkan bersiap siaga berdepan fenomena cuaca ekstrem berikutan rekod taburan hujan purata dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu mencecah 39.5 milimeter (mm) sehari.
“Selain itu, kelajuan angin direkodkan 37 kilometer per jam pada Ahad lalu di Stesen Universiti Sains Malaysia dan Prangin dengan kelajuan itu dikategorikan sebagai tinggi menyebabkan insiden pokok tumbang dan dahan patah,” katanya.
Semalam media melaporkan Pulau Pinang menerima hampir 200 aduan pokok tumbang termasuk membabitkan rumah dan kenderaan di beberapa lokasi akibat kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd