suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Sepang: Cubaan menyeludup masuk dadah jenis kokain seberat 3.3 kilogram bernilai kira-kira RM1.48 juta berjaya digagalkan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Ahad lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan
Malaysia (AKPS) KLIA dalam kenyataan berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 8.00 malam terhadap seorang penumpang lelaki warga Indonesia berumur 61 tahun.
Katanya, suspek yang tiba dari Freetown, Sierra Leone melalui beberapa negara transit sebelum tiba di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan oleh pegawai AKPS dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan pada sebuah beg tangan dan bagasi milik suspek.
“Pemeriksaan lanjut menemukan tujuh paket disyaki kokain yang disorokkan pada lapisan dalam beg tangan serta bahagian sisi bagasi,” kata kenyataan itu, malam ini.
AKPS KLIA berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada Unit Penguatkuasaan KLIA untuk tindakan lanjut.
“AKPS akan terus mempertingkat kawalan dan pemantauan di pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah serta memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




