JIM serbu kilang mengaji PATI didalangi majikan warga China

JIM serbu kilang mengaji PATI didalangi majikan warga China

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Serdang: Kegiatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi majikan warga China terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Mahir di sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta di Seri Kembangan, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari selepas risikan selama seminggu dijalankan ke atas premis berkenaan.

Menurutnya, hasil risikan mendapati premis itu dimiliki dan diuruskan majikan warga China yang dikesan sengaja memilih serta menggaji warga asing terutama rakan senegara tanpa sebarang dokumen atau permit kerja sah.

“Pasukan serbuan dengan kekuatan 17 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke premis tersebut dan membuat pemeriksaan ke atas 24 individu terdiri daripada 21 warga asing dan tiga warga tempatan.

“Seramai 16 warga asing termasuk majikan warga China dan Myanmar berumur di antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, tiga Borang 29 Saman kepada Saksi telah dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam masa sama, Lokman Effendi menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top