norhayati_nordin@hmetro.com.my
UJIAN hidup setiap manusia itu tidak sama. Ada orang mungkin cemerlang dalam karier, namun gagal menikmati kebahagiaan rumah tangga kerana begitulah takdirnya.
Jadi, untuk cuba ‘berdamai dengan takdir’ juga memerlukan masa. Ada orang, waktu diambil mereka sangat sekejap dan ada juga terlalu lama untuk menyembuhkan parut luka.
Bagi penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 46, dia bersyukur kini sudah ‘berdamai dengan takdir’ hidupnya yang diuji melalui kegagalan rumah tangga pada 2009 lalu.
Kini, selama 15 tahun bergelar ibu tunggal, Rossa sudah bahagia dengan cara sendiri meneruskan kehidupan bersama anak lelaki tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan atau Rizky, 18.
Menurut pemilik nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani ini, perjalanan takdir hidup seseorang yang sudah ditetapkan oleh Yang Maha Esa itu rahsia dan tiada siapa tahu sehingga tiba masanya.
“Jadi, seandainya ada ujian menimpa kita cubalah menerimanya dengan baik sebab memang kita semua memiliki takdir yang berbeza-beza. Tapi, apa pun itu (takdirnya) bersyukur dan menjalaninya adalah pilihan kita.
“Kita boleh saja terus menangis, kita juga boleh menangisinya dan berhenti berjauhan, tetapi itu tidak membawa kebaikan kepada kita sebagai wanita yang diuji.
“Apatah lagi, bagi saya sendiri melihat cara atau tindakan seorang wanita itu adalah sangat hebat kerana mereka (wanita) sebenarnya mempunyai banyak sekali bakat peribadi,” katanya.
Penyanyi lagu Hey Ladies dan Pudar ini berkata, wanita ada banyak bakat dan kemahiran tersendiri yang dianugerahkan oleh Allah kepada masing-masing yang boleh menjadi pembakar semangat.
“Kita ini (wanita) ‘gifted’. Boleh melakukan banyak hal dalam satu waktu seperti boleh memasak sambil menjaga anak, boleh juga berbual di telefon bersama rakan dan sebagainya.
“Semua itu (bakat diri), boleh dibuat oleh kita sebagai wanita di dalam satu masa. Jadi, kenapa kita tidak cuba bangkit dengan mudah selepas kecewa untuk membina kehidupan baharu.
“Memang sewajarnya untuk kita (wanita) itu berdiri semula selepas ‘jatuh’ atau rasa kecewa dengan salah satu caranya ialah bekerja untuk diri sendiri dan membawa manfaat juga buat keluarga,” katanya.
Ditanya dugaan membesarkan anak sendirian, Rossa berkata, terlalu banyak ujian dihadapinya dulu, terutama ketika Rizky masih kecil hingga membuatkan hatinya berasa luluh.
“Cabaran dan dugaan saya hadapi ketika membesarkan Rizky sendirian memang banyak. Kalau nak diceritakan selama 90 minit ditemubual pun tidak akan habis-habis.
“Apa yang boleh saya kata, saat paling sedih sebetulnya dirasakan ialah ketika Rizky masih kecil dan dia sakit. Mungkin seperti itulah.
“Ketika dia (Rizky) sakit, saya perlu membawa dia bersendirian berjumpa doktor. Itu kadang-kadang sangat ‘broken hearted’ (meluluhkan hati),” ujarnya.
Terdahulu, Rossa pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain dram kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 18 Mac 2004. Namun, jodoh mereka tak panjang apabila bercerai selepas lima tahun hidup bersama.
Filem dokumentari 25 tahun
Selain sangat dikenali di negara kelahirannya sendiri, Rossa juga antara penghibur dari Seberang yang mempunyai ramai peminat tegar dan setia menyokongnya di Malaysia.
Justeru, sempena ‘jubli perak’ Rossa yang ke-25 tahun mengharungi suka dan duka sebagai insan seni diabadikannya dalam filem dokumentari, All Access to Rossa 25 Shining Years.
“Sejujurnya, saya sangat berbesar hati apabila filem dokumentari istimewa saya ini dapat dibawa untuk tayangannya ke Malaysia juga. Ini kerana, Malaysia sangat dekat di hati saya.
“Peminat saya di sini (Malaysia) juga ramai dan saya yakin mereka pun ingin menyaksikan perjalanan kisah hidup saya yang ada dirahsiakan, terutama kisah perceraian rumah tangga.
“Selama ini, saya memang menjaga ‘privacy’ diri untuk cerita-cerita peribadi. Jadi, dalam filem dokumentari ini saya berkongsi serba-sedikit kisah keluarga kerana ia pun sudah lama berlaku,” jelasnya.
Rossa berkata, dia gembira anaknya, Rizky dan bekas suami, Yoyo sudi bekerjasama dalam penghasilan filem dokumentari itu, selain individu yang menjadi tulang belakang dalam pasukan kerjanya.
Filem dokumentari, All Access to Rossa 25 Shining Years yang sudah ditayangkan di Indonesia sebelum ini akan menemui penonton di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 18 Oktober depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


