‘Tongkat Ayahcik dibida bukan kerana taasub’ – Khairuddin

SHAH ALAM – Tindakan membida tongkat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan kerana sikap taasub, sebaliknya didorong semangat untuk menyumbang kepada perjuangan parti.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri menjelaskan, bidaan tongkat diperbuat daripada kayu kemuning itu turut menjadi satu kenangan dengan pemimpin berkenaan.

“Itu semangat yang patut ada pada semua ahli parti dalam parti mana sekalipun kerana parti hidup dengan sumbangan ahli.

“Dulu pun saya pernah membida dalam muktamar Pas untuk sumbangan RM4,000. Walaupun berbeza parti tidak semua benda perlu dilihat salah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, tongkat milik Abdul Hadi dibida oleh bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin pada harga RM16,500.

Lelongan dalam Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka berkenaan diadakan sebagai salah satu usaha mengumpul sumbangan untuk tabung parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khairuddin berkata, perbezaan politik perlu dihadapi secara sederhana dan tidak seharusnya membawa kepada sikap berlebih-lebihan atau ‘ghuluw’.

Scroll to Top