'Syamsul dah kerap balik ke rumah' – Yusof Haslam

'Syamsul dah kerap balik ke rumah' – Yusof Haslam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, hubungan kami anak beranak sudah okay,” kata penerbit filem, Datuk Yusof Haslam ketika diminta mengulas sama ada Syamsul masih berhubung dengannya dan isteri selepas pertemuan mereka pada 9 September lalu.

Kata Yusof, Syamsul ada berhubung dengannya dan isteri untuk bertanya khabar mereka, baru-baru ini.

“Selain bertanya khabar, Syamsul juga sering singgah ke rumah untuk menikmati masakan ibunya,” katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, kata Yusof, dia juga sentiasa mendoakan semoga semangat anaknya itu kuat untuk terus berkarya 

“Saya harap dia tidak sesekali  patah semangat.

“Kalau saya, ayahnya sudah berusia 70 tahun pun masih lagi berjuang, inikan pula dia yang baharu mencecah usia 40 tahun,” katanya.

Ditanya pandangannya mengenai filem arahan Syamsul, The Original Gangster pula, Yusof berkata, dia belum menonton filem itu.

“Syamsul pun tidak mahu kami tanya pasal hal kerja dia atau pun tentang filem itu. Dia juga tidak mahu cerita apa-apa pun mengenai filem itu selagi tidak siap.

“Lagipun, filem itu terbitan syarikat lain. Apa-apa pun biarlah masa tayangan filem itu nanti,” katanya.

Filem terbitan Syamsul Yusof Films dan Razor’s Edge Pictures itu turut mendapat sokongan daripada Media Prima Berhad (MPB) dan mula menjalani penggambaran pada 2022. 

Bagaimanapun penggambaran tertangguh beberapa kali akibat masalah teknikal dan isu peribadi Syamsul sebelum disambung semula pada tahun lalu.

Terdahulu, Yusof mengakui dia tidak menyangka Syamsul akhirnya membuka pintu hati dan kembali ke pangkuan keluarga selepas bertahun-tahun tidak berjumpa pada 9 September lalu. 

Kata Yusof, Syamsul sendiri menghubungi ibunya, Datin Patimah Ismail untuk berjumpa di rumah selepas sekian lama mereka terputus hubungan.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top