London: Manchester United perlu menjadi lebih kejam, kata Erik ten Hag selepas terlepas banyak peluang dan hanya mencatatkan keputusan seri 0-0 di Crystal Palace.
Ketika mereka mengelak satu lagi kekalahan memalukan, ia bukannya persembahan yang boleh diingati daripada pasukan kendalian Erik ten Hag yang bergelut menentang Palace.
United hanya menang dua daripada lima perlawanan pertama liga mereka, terhutang budi kepada Andre Onana kerana berjaya menyelamatkan dua percubaan bahaya daripada Eddie Nketiah dan Ismaila Sarr.
Penyelamatan menakjubkan selepas rehat itu berjaya menghalang Palace daripada meraih kemenangan liga pertama musim ini.
Satu mata itu membuatkan United berada di kedudukan ke-11 selepas hanya memenangi dua daripada lima perlawanan pembukaan mereka dalam kempen Liga Perdana musim ini.
“Saya tidak berpuas hati, kami sepatutnya menang.
“Separuh masa pertama kami membiarkan mereka terus bernafas, separuh masa kedua lebih seimbang.”
“Kami bermain dengan sangat baik (pada separuh masa pertama), mengawal permainan sepenuhnya, satu-satunya kelemahan adalah di dalam kotak kerana di situlah perlawanan ditentukan.
“Kami sepatutnya lebih klinikal di kawasan itu,” kata Ten Hag.
Kekalahan memalukan dalam lawatan terakhir mereka ke Selhurst Park pada bulan Mei adalah titik terendah bagi musim yang bermasalah untuk United.
Ramai yang tertanya-tanya sama ada Ten Hag akan mengendalikan perlawanan lain, tetapi kemenangan mengejut di final Piala FA menentang Manchester City memberikan peluang kedua kepada pengendali Belanda itu.
Red Devils tiba di selatan London dengan semangat tinggi selepas menjaringkan 10 gol dalam seminggu lalu termasuk menewaskan Southampton 3-0 dan membelasah Barnsley 7-0 dalam Piala Liga pada pertengahan minggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




