am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Hubungan baik dan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura tidak seharusnya digugat dengan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan baik dan sebarang isu berbangkit perlu diselesaikan secara rundingan bagi mendapatkan manfaat menang-menang kepada semua pihak.
“Memang akan ada masalah dengan negara jiran, itu perkara biasa kerana semua negara ada masalah dengan jiran mereka. Tetapi, ini bukanlah satu isu yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan atau tindakan balas membalas.
“Sebaliknya, kita perlu bekerjasama dan mengadakan perbincangan. Ini juga tidak akan mengganggu fokus dua negara untuk mendapatkan manfaat secara langsung,” katanya ketika berucap pada Invest Malaysia : Where Policy Meets Progress @ Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Penasihat Ekonomi (Pelaburan) Negeri Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.
Menurut Anwar, atas hubungan baik dua negara itu, kerajaan di bawah pentadbirannya terus teruja untuk mengadakan kerjasama ekonomi dengan republik berkenaan melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ).
“Malaysia bertuah kerana telah merekodkan pertumbuhan ekonomi positif dalam suku pertama, kedua dan ketiga tahun ini. Ringgit juga sedang mengukuh selain Bursa Malaysia mengatasi bursa negara-negara lain di rantau ini.
“Rantau ASEAN menempatkan seramai 680 juta penduduk dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) AS$ 3.5 trilion dan ia mempunyai potensi untuk berkembang berkali-kali ganda pada masa depan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan dalam melakukan transformasi sekali gus memerangi jenayah rasuah.
“Politik negara kini stabil selepas kekacauan sebelum ini. Jadi, kita gunakan kekuatan ini untuk memastikan pentadbiran kerajaan yang baik dengan melawan korupsi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




