am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kes mahkamah pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 dihadapi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih berjalan selagi tiada kata putus oleh Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.
Peguam, Datuk Adnan Seman berkata, biarpun Sultan Salangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk menerima permohonan maafnya, namun kedudukan kes di mahkamah masih terus berjalan seperti biasa.
“Pihak pembelaan mungkin kemukakan representasi meminta supaya kes beliau digugurkan, namun terserah kepada Peguam Negara untuk menerima atau meneruskan kes (pendakwaan).
“Peguam Negara yang akhirnya menentukan kuasanya untuk meneruskan pendakwaan atau menggugurkan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sultan Selangor hari ini berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.
Menerusi surat titah yang dimuat naik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Muhaammad Sanusi kini sedang menghadapi pendakwaan di Mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa mempertikai kewibawaan institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata pihak pembelaan boleh menggunakan perkenan terima maaf daripada Sultan Selangor itu untuk mencadangkan supaya kes dihadapi Muhammad Sanusi digugurkan.
“Kalau (kes) tak gugur pun pendakwaan mungkin tak ada kes untuk buktikan (pertuduhan dihadapinya sebagai) hasutan atau pun menghina,” katanya.
Beliau juga berkata, kedudukan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah juga tidak tergugat berikutan perkembangan terkini itu.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Kes berkenaan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




