East Rutherford: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann, meluahkan rasa tidak puas hati dan menganggap pasukannya seolah-olah ‘dihukum’ biarpun berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selaku juara Kumpulan E.
Nagelsmann, 38, menjelaskan bahawa status sebagai juara kumpulan kali ini memberi kerugian kepada gergasi Eropah itu berikutan kesuntukan masa untuk melakukan persiapan rapi menjelang aksi pusingan kalah mati nanti.
Jerman yang mengesahkan slot teratas kumpulan sebelum turun menentang Ecuador, dilaporkan hanya akan mengetahui lawan sebenar mereka kurang daripada tempoh 48 jam sebelum perlawanan bermula.
Di bawah format baharu yang membabitkan 48 pasukan, Jerman bersama tujuh lagi juara kumpulan terpaksa menanti sehingga semua aksi peringkat kumpulan selesai pada Sabtu ini bagi mengetahui pasukan tempat ketiga terbaik yang bakal menjadi lawan mereka di Foxborough, Isnin depan.
“Saya fikir kami seperti dihukum walaupun bergelar juara kumpulan. Namun, jika dilihat kepada semua algoritma dan bagaimana semuanya saling berkait, ia sememangnya amat kompleks. Lebih banyak pasukan bertanding, maka keadaan akan menjadi lebih rumit,” katanya kepada media di New Jersey.
Jerman memulakan kempen dengan langkah kanan selepas membelasah Curacao 7-1 sebelum bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1, sekali gus menamatkan badi tersingkir awal di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak bergelar juara dunia pada tahun 2014.
Meskipun berdepan ketidaktentuan jadual, Nagelsmann menegaskan barisan kejurulatihannya sudah membuat analisis awal mengenai beberapa pasukan yang berpotensi besar untuk ditentang.
“Situasi ini memang tidak ideal, tetapi kami sudah bersedia dan telah menilai pasukan mana yang paling berkemungkinan akan ditentang. Kami membuat persiapan awal supaya tidak kelari-kabut pada hari Ahad nanti kerana itu adalah sesi latihan terakhir untuk mengubah taktikal.
“Ada sedikit tekanan dari segi masa, tetapi barisan kejurulatihan kami masih muda. Jika keadaan memerlukan, kami sedia bekerja dan berjaga sepanjang malam,” tambah beliau.
Sementara itu, Ecuador yang sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri 0-0 menentang Curacao dan tumpas 0-1 kepada Ivory Coast, bertekad untuk mengelak daripada tersingkir awal.
Pengendali Ecuador, Sebastian Beccacece, tetap optimis anak buahnya mampu melakar kejutan ke atas Jerman biarpun menyedari ia adalah tugas yang amat berat.
“Kami berhak mendapatkan keputusan lebih baik sebelum ini berdasarkan corak permainan kami. Masalah utama kami hanyalah ketajaman di jentera penyudah. Menentang Jerman adalah cabaran terbesar sekali gus peluang terbaik kami. Saya tidak takut gagal kerana jika kami memberikan segala-galanya, tiada apa yang perlu dikesalkan,” tegas Beccacece.
© New Straits Times Press (M) Bhd




