Atlanta: Haiti menjadi pasukan pertama tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas sekali lagi dalam perlawanan terakhir mereka yang mendebarkan ketika menentang Maghribi di Atlanta pagi tadi.
Kembalinya Haiti ke Piala Dunia selepas penantian selama 52 tahun mungkin berakhir dengan keputusan hampir sama, tewas ketiga-tiga perlawanan tetapi mereka meninggalkan pentas kejohanan dengan penuh maruah.
Separuh masa pertama menentang Maghribi dianggap antara 45 minit paling menghiburkan setakat Piala Dunia kali ini.
“Kami Akan Kembali” tertera pada sepanduk yang dipegang penyokong Haiti di Stadium Atlanta, dan persembahan mereka menentang pasukan separuh akhir Piala Dunia 2022 itu menunjukkan mereka mungkin tidak perlu menunggu terlalu lama untuk kembali.
Maghribi memburu kemenangan besar untuk cuba muncul juara Kumpulan C, namun Haiti dua kali berada di depan sebelum akhirnya tewas 2-4 dalam satu perlawanan yang tetap memberi amaran awal kepada Morocco.
Satu-satunya penampilan Haiti di Piala Dunia sebelum ini ialah pada 1974 dan kelayakan kali ini dilihat banyak dipengaruhi keputusan FIFA memperluaskan jumlah pasukan kejohanan.
Selepas tewas tipis 0-1 kepada Scotland dan kemudian dibelasah Brazil 3-0, Haiti menamatkan kempen tanpa mata. Namun aksi menentang Maghribi akan terus diingati ribuan penyokong setia mereka di Atlanta.
Jurulatih Haiti, Sebastien Migne berkata: “Kami menunjukkan bahawa kami tidak mencuri tempat kami di sini. Kami memang layak berada di sini.
“Saya harap apa yang kami berikan kepada penyokong sudah cukup baik. Malangnya kami tidak dapat mengutip mata, sedangkan kami sangat mahu menghadiahkan sekurang-kurangnya satu mata kepada mereka.”
Kapten dan penjaga gol Haiti, Johny Placide sebelum ini mengumumkan bahawa perlawanan menentang Maghribi adalah aksi antarabangsa terakhirnya dan pemain berusia 38 tahun itu beberapa kali menyelamatkan gawang termasuk satu aksi dua penyelamatan cemerlang pada separuh masa pertama.
Haiti tidak bermain sebarang perlawanan kelayakan di tempat sendiri akibat krisis keselamatan berterusan dan keganasan kumpulan bersenjata yang melanda negara itu sejak 2021.
Sekatan perjalanan menyebabkan sebahagian besar sokongan mereka di Piala Dunia datang daripada rakyat Haiti yang sudah menetap di Amerika Syarikat.
Kebanyakan pemain mereka juga dibentuk di luar negara dan Migne yang masih belum pernah melawat Haiti bertekad membawa negara itu kembali ke pentas terbesar dunia.
“Kami menjaringkan dua gol, sesuatu yang bersejarah untuk Haiti dalam satu perlawanan Piala Dunia. Kami akan terus bekerja supaya dapat kembali semula empat tahun dari sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




