Bakal mengadakan konsert pada 5 Oktober ini, kumpulan Drama Band bersemangat mempromosikan The Hardest Malam Drama yang bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur.
Menjadi konsert berskala besar pertama selepas penglibatan 14 tahun dalam industri muzik, penerimaan peminat sangat positif dan Drama Band menganggap ia sebagai hadiah untuk penggemar muzik mereka.
“Setakat ini, 70 peratus tiket terjual. Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Sekarang, kami mahu memenuhkan ruangan ‘standing’ kerana ia boleh memuatkan ramai orang. Jadi, kami semua gigih menjalankan rangka promosi kerana impian kami adalah untuk meraikan peminat.

“23 lagu kita akan persembahkan di konsert nanti. Insya-Allah, isteri saya, Leez Rosli dan rakan penyanyi, Putera Muhammad akan turut serta membuat persembahan di konsert kami nanti,” kata Aepul Roza selaku vokalis mewakili Drama Band.
Aepul dan anggota Drama Band lain ditemui XTRA sebelum mereka membuat persembahan di Lorong Belakang Cyberjaya, pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai kesudian anggota Drama Band untuk turun busking di pelbagai tempat seperti Lorong Belakang Cyberjaya serta di hadapan Kompleks Sogo untuk mempromosikan konsert, band yang terkenal dengan lagu Biarkanlah ini mempunyai pandangan tersendiri.
“Menjelang konsert, kami memang all out mempromosikan. Cara kami bawa diri adalah kami tidak pernah menganggap diri kami selebriti. Kami masih membawa diri kami sama seperti 14 tahun lepas.

“Kita rasa dihargai bila orang kenal lagu kita, mereka nyanyi sama-sama dan apa yang kami buat ini adalah kerja. Sebab itu kami tak kisah nak buat persembahan di tepi jalan kerana ada orang yang menghargai muzik kita.
“Kami suka konsep sebegini kerana kami dapat bertemu dengan orang-orang yang menyokong kerjaya kita selama ini. Tanpa mereka, kami tidak akan berada di sini.
“Bila busking sebegini, orang boleh tengok kita di hadapan mata, boleh borak-borak, ambil gambar. Itu lebih kami gemari kerana kami dapat dekat dengan mereka yang menyokong, dapat menghargai juga,” katanya.
Dapatkan tiket konsert The Hardest Malam Drama di www.ticket2u.com.my/dramaband




