
TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah dipindahkan ke lokasi selamat dan rahsia di dalam negara itu dengan langkah keselamatan yang dipertingkatkan.
Dua pegawai serantau yang diberi taklimat oleh Tehran memberitahu Reuters bahawa Iran sentiasa berhubung dengan Hizbullah Lubnan dan kumpulan proksi serantau lain untuk menentukan langkah seterusnya, selepas Zionis Israel mengumumkan bahawa ia telah membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam serangan di selatan Beirut pada Jumaat lepas.
Berikutan operasi ketenteraan berterusan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, ketegangan di Timur Tengah telah meningkat dengan Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu pejabat Hizbullah di selatan Lubnan.
Walaupun Israel sebelum ini mendakwa bahawa pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah telah terbunuh dalam serangan pada Jumaat itu tanpa sebarang bukti nyata, namun Hizbullah akhirnya telah mengesahkan berita itu.
Serangan udara itu juga dilaporkan telah meyebabkan anak perempuan Nasrallah, serta ketua unit peluru berpandu dan dron Hizbullah turut terkorban.
Sebagai respons, Khamenei telah mengutuk serangan Israel ke atas Lubnan itu, dengan menyatakan bahawa ‘jika apa-apa berlaku ke atasnya (Ansarallah), Hizbullah mempunyai kepimpinan yang mampu untuk menggantikan beliau’. – Agensi/– HARAKAHDAILY 28/9/2024








