Spurs belanja RM283 juta dapatkan Van Hecke

Spurs belanja RM283 juta dapatkan Van Hecke

London: Tottenham Hotspur terus memperkukuh benteng pertahanan mereka apabila mengesahkan pembelian pertahanan Belanda, Jan Paul van Hecke, daripada Brighton dengan nilai perpindahan dilaporkan sekitar 52 juta pound (RM283 juta), hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab Utara London berkenaan selepas Tottenham berjaya mencapai persetujuan dengan Brighton susulan dua tawaran awal yang ditolak.

Van Hecke akan kembali bekerjasama dengan pengurus Tottenham, Roberto De Zerbi, yang pernah membimbingnya selama dua musim di Brighton.

“Menjadi pemain Spurs adalah satu penghormatan besar dan apabila menyertai kelab sebesar ini, ia ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan jurulatih dan tidak sabar untuk bekerja dengannya semula. Micky van de Ven juga banyak menceritakan perkara positif mengenai kelab ini,” kata Van Hecke.

De Zerbi menjadikan pengukuhan benteng pertahanan sebagai keutamaan selepas berjaya menyelamatkan Tottenham daripada penyingkiran pada hari terakhir musim lalu.

Sebelum ketibaan Van Hecke, Spurs turut mendapatkan khidmat bek kiri Scotland, Andy Robertson, dan pertahanan tengah Argentina, Marcos Senesi, secara perpindahan percuma.

Sepanjang dua musim lalu, Tottenham melepaskan 122 gol dalam saingan liga, sekali gus menjelaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh bahagian pertahanan.

De Zerbi menyifatkan Van Hecke sebagai pemain yang cukup dikenali dan sesuai dengan corak permainan yang ingin diterapkannya.

“Jan Paul adalah pemain yang saya kenal dengan baik ketika bersama di Brighton dan saya gembira dapat bekerja dengannya semula.

“Dia seorang pertahanan yang kuat, bijak, berani menguasai bola dan memiliki karakter yang hebat di atas padang. Selain itu, dia juga seorang pemimpin yang sentiasa mahu belajar dan meningkatkan prestasi,” kata De Zerbi.

Van Hecke yang kini bersama skuad Belanda di Piala Dunia 2026 dijangka menyertai rakan sepasukan baharunya selepas tamat kejohanan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top