Switzerland hampiri tiket ke pusingan kalah mati

Switzerland hampiri tiket ke pusingan kalah mati

Inglewood, California: INGLEWOOD, California: Johan Manzambi muncul wira Switzerland apabila meledak dua gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian untuk membantu pasukannya membelasah Bosnia dan Herzegovina 4-1 dan mengungguli Kumpulan B Piala Dunia, hari ini.

Pemain berusia 20 tahun itu hanya dimasukkan pada minit ke-71 sebelum mencetuskan kebangkitan Switzerland pada penghujung perlawanan.

Tiga gol terakhir Switzerland hadir selepas pertahanan Bosnia, Tarik Muharemovic dilayangkan kad merah pada minit ke-80 kerana menjatuhkan Breel Embolo yang berada dalam kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.

Keputusan itu meletakkan Switzerland di tangga teratas kumpulan dengan empat mata selepas seri 1-1 dengan Qatar dalam aksi pembukaan.

Bosnia yang hanya mengumpul satu mata kini perlu mencari kemenangan ke atas Qatar dalam perlawanan terakhir jika mahu terus menghidupkan peluang.

Semua lima gol yang dibolosi Bosnia dalam kejohanan ini hadir selepas minit ke-70, termasuk gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Kanada sebelum ini.

Untuk tempoh yang panjang, corak bertahan Bosnia hampir membuahkan hasil sebelum jurulatih Switzerland, Murat Yakin memasukkan Manzambi.

Tidak lama kemudian, Ruben Vargas melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri sebelum percubaan Amar Memic untuk mengeluarkan bola gagal.

Manzambi yang berada berhampiran kotak penalti terus melakukan voli deras untuk menewaskan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj pada minit ke-74.

Harapan Bosnia untuk mengelak kekalahan hampir musnah enam minit kemudian apabila Muharemovic dibuang padang selepas melakukan terjahan dari belakang ke atas Embolo.

Empat minit kemudian, Vargas meledak gol kedua Switzerland selepas menerima hantaran daripada Embolo.

Vargas sekali lagi memainkan peranan penting apabila membantu Manzambi melengkapkan dua gol peribadinya pada minit ke-90.

Pemain gantian Bosnia, Ermin Mahmic sempat menjaringkan gol sagu hati menerusi voli kencang pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, kapten Switzerland, Granit Xhaka menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-97 untuk melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top