Messi naik angin maki pengadil

Messi naik angin maki pengadil

Miami: Lionel Messi terbabit dalam pertengkaran dengan pengadil selepas Inter Miami seri 1-1 dengan Charlotte, keputusan seri ketiga berturut-turut kelab itu.

Charlotte mendahului pada minit ke-56 menerusi Karol Swiderski sebelum Messi menyamakan kedudukan menerusi penyudah cantik 10 minit kemudian.

Pada minit ke-12 masa kecederaan, Messi melambungkan bola melepasi enam pemain pertahanan kepada Jordi Alba, yang kemudian menanduk bola ke arah Luis Suarez.

Namun, penyerang Uruguay itu gagal menjaringkan gol dari jarak dekat, sebaliknya merembat bola tinggi melepasi palang sebelum terjatuh akibat berlanggar dengan penjaga gol, Kristijan Kahlina.

Messi kelihatan sangat marah selepas insiden itu kerana dia merasakan pasukannya sepatutnya diberikan penalti.

Dia menghampiri pengadil dan menurut ‘Ole’ melalui Mundo Deportivo, Messi menghampiri pengadil sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Bekas pemain Barcelona dan PSG itu terlepas daripada dibuang padang dan hanya dikenakan kad kuning, walaupun perlawanan sudah berakhir.

Sebelum kejadian itu, Charlotte menyaksikan gol mereka dibatalkan kerana ofsaid selepas Kerwin Vargas menjaringkan gol dari jarak dekat.

Penyerang itu kemudian terlepas peluang keemasan pada minit ke-96, apabila percubaannya melepasi tiang gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top