Menteri Luar Perancis adakan lawatan ke Lubnan

Menteri Luar Perancis adakan lawatan ke Lubnan
Jean-Noel Barrot (FOTO: Arab News)
– Advertisement –

BEIRUT: Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot tiba di Lubnan pada Ahad malam, menjadikannya diplomat asing peringkat tinggi pertama yang melawat negara itu sejak serangan udara Israel yang diperhebatkan minggu lalu.

Ketibaan Barrot yang sebelum ini menggesa agar serangan itu dihentikan serta-merta, berlaku selepas kementerian luar negeri negaranya mengumumkan bahawa seorang warga Perancis kedua telah terbunuh di Lubnan, walaupun butirannya tidak jelas, lapor Arab News.

– Advertisement –

“Kami mengesahkan kematian warga Perancis kedua,”kata kementeriannya dalam satu kenyataan pada Ahad, sambil menambah butiran lanjut akan diberikan kemudian.

Kematian itu berlaku selepas seorang wanita Perancis berusia 87 tahun meninggal dunia pada Isnin minggu lepas selepas serangan dan letupan melanda sebuah kampung di selatan Lubnan.

Selepas mesyuarat mengenai status warga Perancis yang berada di negara itu, Barrot dijadualkan akan bertemu pegawai tertinggi termasuk Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati pada hari ini, Isnin.

Menteri Kesihatan Lubnan, Firass Abiad berkata, Barrot turut menyelia penghantaran sebanyak 11.5 tan bantuan kemanusiaan Perancis ke negara itu, di samping bertemu dengan Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Lubnan dan anggota pasukan pengaman PBB di selatan negara itu.

Tentera Israel dalam pada itu berkata, pihaknya telah melakukan serangan yang menyasarkan kumpulan pejuang Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, selepas pemimpinnya, Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan udara di Beirut pada Jumaat.

Insiden itu sekaligus telah menimbulkan kebimbangan yang semakin kuat tentang peningkatan konflik yang lebih teruk di rantau Timur Tengah.

Presiden Perancis Emmanuel Macron dilaporkan turut melantik bekas menteri luar dan pertahanan, Jean-Yves Le Drian sebagai utusan khas ke Lubnan.

Le Drian sebelum ini telah melawat Lubnan sebanyak enam kali, dengan yang terbaru adalah pada awal minggu lalu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/9/2024

– Advertisement –

Scroll to Top