nfazlina@nstp.com.my
Pasir Puteh: Kementerian Kerja Raya (KKR) meminta persatuan kontraktor yang mendakwa berlaku kenaikan mendadak kos bahan binaan supaya mengemukakan bukti kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk pertimbangan Syarat Perubahan Harga (VOP).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kenyataan DOSM pada 10 Ogos lalu, terdapat tiga bahan mengalami lonjakan harga yang tidak ketara iaitu besi dan simen yang tidak sampai satu peratus.
Sementara pasir pula katanya mengalami kenaikan sehingga 19 peratus di negeri tertentu sahaja.
“Justeru saya meminta supaya persatuan kontraktor memberi maklumat serta bukti kepada DOSM sekiranya statistik yang dikemukakan itu tidak tepat. Ini kerana kita juga menghormati kenyataan daripada kepimpinan persatuan.
“Jika berdasarkan statistik DOSM, majoriti daripada bahan binaan hanya berlaku kenaikan yang sedikit dan harga adalah stabil. Di pihak kementerian kita menggunakan statistik daripada DOSM.
“Saya tidak menuduh persatuan kontraktor memberikan maklumat yang silap, sebaliknya saya khuatir DOSM yang memberikan maklumat yang silap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan Kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan digesa melaksanakan langkah segera termasuk mengaktifkan semula VOP bagi bahan binaan untuk membantu kontraktor yang kini berdepan tekanan kenaikan kos susulan krisis tenaga global.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dilaporkan berkata, langkah itu yang pernah dilaksanakan ketika krisis sebelum ini termasuk pandemik COVID-19 terbukti membantu kontraktor menangani peningkatan kos.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sekiranya statistik daripada DOSM tidak menyatakan kenaikan ketara, kerajaan tidak boleh mempertimbangkan pelaksanaan VOP.
“Kemukakan bukti kepada DOSM dan apabila DOSM memaklumkan berlaku kenaikan mendadak sebagaimana dakwaan susulan konflik perak di Asia Barat, kerajaan akan pertimbang untuk pelaksanaan VOP,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
