MAIJ akan bantu kanak-kanak melecur

MAIJ akan bantu kanak-kanak melecur

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan menyalurkan bantuan bagi keperluan rawatan pemulihan kulit akibat melecur Muhammad Nazran Eijaz Rizki Muhammad Muklis, 5.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, MAIJ memainkan peranan menyantuni keperluan bagi rawatan pemulihan kulit Muhammad Nazran.

Menurutnya, bantuan yang bakal disalurkan bagi memastikan Muhammad Nazran memiliki masa depan yang cerah.

“Nazran perlukan bantuan kita semua. Kita dapat maklumat bahawa kanak-kanak ini perlu dibekalkan dengan kolagen bagi tujuan pemulihannya.

“Harganya kira-kira RM160 bagi satu pek dan dia perlukan dua pek sehari, bermakna RM320 sehari untuk enam bulan mulai bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, MAIJ menganggarkan keseluruhan kos pembelian pek kolagen boleh mencegah sehingga RM57,000, tidak termasuk lain-lain keperluan yang akan dimaklumkan mengikut perakuan doktor.

“Kami dimaklumkan esok Muhammad Nazran boleh pulang ke rumahnya.

“Kami berharap keadaan Muhammad Nazran semakin baik dan MAIJ akan menyalurkan bantuan sesuai menggunakan kutipan zakat dan infaq,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Muhammad Nazran di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Semalam akhbar ini melaporkan seorang kanak-kanak mengalami kesan melecur 55 peratus hampir di seluruh badan selepas tin cat daripada timbunan sampah-sarap dibakar meletup.

Dalam kejadian pada 9 September lalu, Muhamad Nazran sedang bermain berhampiran pusat mencuci kereta milik bapanya.

Keluarga berkenaan hanya menyedari kejadian menimpa Muhamad Nazran selepas terdengar bunyi kuat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top