nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kelantan mengekalkan waktu daftar masuk untuk tetamu seperti sebelum ini iaitu antara 2 dan 3 petang.
Setiausaha Kehormatnya, Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, peraturan itu membabitkan 19 hotel di Kelantan yang berdaftar di bawah persatuan berkenaan.
“Untuk 19 hotel yang berdaftar dengan MAH Kelantan, waktu daftar masuk hotel masih kekal sebagaimana sebelum ini antara 2 dan 3 petang.
“Manakala untuk daftar keluar juga kekal 12 tengah hari dan setakat ini, kita tidak ‘naikkan’ masa daftar masuk kepada 4 petang sebagaimana yang tular sebelum ini.
“Untuk masa sekarang, kita tidak tetapkan untuk memaksimumkan keuntungan tetapi mahu memastikan bilik dibersihkan dan disediakan dengan betul untuk tetamu seterusnya,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, tular tindakan segelintir pihak hotel yang menetapkan waktu daftar masuk premis mereka bermula pada 4 petang, manakala keluar pula seawal 11 pagi.
Tindakan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen dengan rata-rata mereka meluahkan rasa tidak adil bagi pelanggan kerana tempoh penginapan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel menetapkan demikian, malah inap desa turut mengambil langkah sama.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan isu waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel yang tular di media.
© New Straits Times Press (M) Bhd



