Selangor tubuh pasukan petugas khas pulihkan anak-anak GISBH

Selangor tubuh pasukan petugas khas pulihkan anak-anak GISBH

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan Selangor menubuhkan sebuah pasukan petugas khas (task force) dalam usaha memulihkan kanak-kanak di negeri ini yang terbabit dalam isu Global Ikhwan Services and Business Holdings.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pasukan itu ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Oktober lalu yang dipengerusikannya bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri, Anfaal Saari.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil serius mengenai kebajikan kanak-kanak dan kelompok rentan.

“Oleh itu, task force dibentuk di peringkat Kerajaan Selangor untuk meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah-rumah amal GISBH di Selangor, baru-baru ini.

“Pasukan khas ini dianggotai pada peringkat awal ini oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Pasukan ini turut dianggotai oleh pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dan Yayasan Selgate,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Fahmi berkata, pasukan ini akan memberikan tumpuan kepada kaedah-kaedah pemulihan bukan sahaja isu-isu aqidah tetapi juga kebajikan, isu kesihatan dan perkembangan mental serta fizikal kanak-kanak berkenaan.

“Ini bagi memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan dan diintegrasikan semula ke dalam masyarakat, walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top