PPM rampas barangan kawalan lebih RM380,000

PPM rampas barangan kawalan lebih RM380,000

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai barangan kawalan bernilai RM380,093.50 dalam serbuan di Kampung Tambalugu, Jalan Tamparuli, Tuaran, dekat sini, semalam.

Menerusi Op Terancang itu, PPM merampas 8,600 liter petrol dan diesel dan 366 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 355 bungkus minyak masak paket satu kilogram.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menjalankan serbuan di premis berkenaan, jam 8.30 pagi.

“Pasukan serbuan yang menjalankan pemeriksaan menemukan 366 tong gas LPG dan tong biru berisi minyak diesel dan petrol. Setiap tong biru berisi 200 liter petrol dan diesel.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan satu lori membawa muatan 32 tong biru berisi petrol dan diesel. Turut ditemukan 355 bungkus minyak masak peket,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu, PPM menahan seorang lelaki berusia 48 tahun selepas gagal mengemukakan permit premis, permit menyimpan gas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kawasan premis itu juga didapati tidak memiliki ciri-ciri keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM380,092.50. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top