Pelakon berbakat, Puteri Balqis mencuri tumpuan selepas berkongsi bait-bait tulisan puisi yang ditujukan buat anak tunggal pasangan Fazura dan Fattah Amin iaitu, Nur Fatima Aisya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Balqis memuat naik hantaran tertera tulisan berjudul ‘Buat adikku, Fatima’.
Hantaran yang berbentuk bait puisi itu jelas menunjukkan pesanan yang ingin ditujukan buat tatapan Fatima kelak.
Menurut Balqis, dia berharap agar Fatima cekal dan tabah dalam menjalani kehidupan selepas ibu bapanya berpisah sekaligus berharap agar anak kecil itu tidak melupakan kasih sayang yang dicurahkan serta tanggung jawab Fazura dan Fattah dalam membesarkannya.
“Tinggi pengorbanan ayah dan ibumu, dik. Biar ayahmu terpaksa menghilang seketika, namun rindu, tanggungjawabnya pada seorang anak, tidak sekali-kali diabai walau keadaan memaksa. Biar ibumu dihina, kasihnya padamu tiada tara. Keduanya punya cinta yang tinggi buatmu, dik.
“Masyarakat dan artis cuma memekik, memerli sini sana ketika masih bernyawa. Mengambil tahu untuk beberapa hari cuma. Bising seketika. Maka, biarkan dengan ilusi mereka.
“Bila kau membesar, aku pasti kau tidak akan menyalahkan sesiapa, sepertimana yang mereka gembar-gemburkan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Puteri Balqis atau lebih mesra dengan panggilan Aqish berkata, netizen di luar sana hanya mampu membuat spekulasi berdasarkan apa yang mereka lihat sahaja.
“Apa yang mereka harapkan padamu, sama seperti apa yang mereka harapkan berlaku pada aku, satu waktu dulu. Mereka mengharapkan aku membenci ibuku sehingga ada yang menulis, dia bakal bunuh ibunya sendiri. Sedangkan apabila tiba waktunya, aku lebih membenci mereka.
“Tidak pernah sekalipun dibukanya derita sebenar, selama lebih 10 tahun. Tapi sekali dibuka, maka bertempiklah mereka mengatakan ini aib. Aku saksi kecil, yang berdiam, menyaksikan derita ibuku sekian lama. Maka kini, aku tidak peduli lagi kata-kata mereka.
“Malah, kasih aku pada ibuku semakin kuat. Yang ada dalam diri aku hanya penyesalan, kerana tidak mampu mempertahankannya ketika ibuku menerima hinaan masyarakat, dan orang-orang industri.
Walaupun menganggap cerita kehidupannya berbeza dengan Fatima, namun dia percaya bahawa anak tunggal pasangan itu akan membesar dengan baik.
Tidak habis disitu, Fazura kelihatan turut meninggalkan respons pada hantaran berkenaan.
Kata Faz, Balqis bukan sahaja seorang anak yang baik tetapi juga bijak dan terpuji.
“Masya-Allah TabarakAllah. Wise words from such a young and brilliant lady. Terima kasih adikku Balqis mendoakan yang baik-baik baut kami khususnya anakanda, Fatima. You are admirable.
“Semoga Balqis terus kuat dan berjaya duani akhirat, Aamiin, ” kongsinya.





