am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parameter dasar baharu Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik kini berada dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat dan belum dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan akan diadakan setelah parameter dan dasar RUU Sumbangan Politik dimuktamadkan oleh JKPK sebelum ia dibentangkan di Kabinet.
“Parameter dan dasar baharu dicadangkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM)-Pendanaan Politik di Malaysia, melalui beberapa siri mesyuarat JKPK yang diadakan.
“Dasar baharu yang dicadangkan turut merangkumi had skop bayaran sumbangan individu atau parti politik serta ketetapan mengenai pendanaan awam untuk parti politik,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Jawapan itu diberikan atas soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini penggubalan RUU Pendanaan Politik serta sesi libat urus bersama pihak berkepentingan setakat ini.
Ahmad Fadhli turut mahu tahu perincian berhubung kajian yang dilaksanakan termasuk had skop bayaran sumbangan individu atau parti politik serta ketetapan mengenai pendanaan awam untuk parti politik.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 September 2023 antara lain bersetuju supaya skop dasar bagi RUU Sumbangan Politik dirujuk kepada JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di Dewan Rakyat.
Katanya, keperluan rujukan ini adalah dengan mengambilkira keprihatinan Perdana Menteri semasa mesyuarat Jemaah Menteri supaya penggubalan RUU ini tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya diperhalusi dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang implikasi negatif.
“Dalam hal ini, cadangan parameter dan dasar sudah dibentangkan kepada JKPK pada 9 November 2023.
“Ia berdasarkan RUU disediakan Pusat Governans, Integriti, dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang kini dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




