PT Athletic mahu sambar tiga mata

PT Athletic mahu sambar tiga mata

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan PT Athletic FC akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam usaha meraih tiga mata penting menentang Bukit Tambun FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, esok.

Ketua jurulatih PT Athletic FC, Nazrulerwan Makmor berkata, beliau mengharapkan barisan pemain dapat mempamerkan aksi terbaik selepas mereka tewas kepada KL Rovers tempoh hari.

Beliau berkata, kemenangan cukup penting buat pasukan dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik Liga A1 Semi Pro.

“Beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan sebelum ini sudah boleh beraksi esok sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan.

“Fokus kita adalah mahu memastikan tiga mata penting milik pasukan supaya dapat terus berada dalam kelompok lima terbaik.

“Setakat ini, semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan mengharapkan mereka dapat mempamerkan aksi positif untuk pasukan,” katanya.

Mengikut rekod, ketika ini Pt Athletic FC berada di kedudukan kelima Liga A1 Semi Pro selepas mengumpul 29 mata hasil sembilan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top