Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki disaran menjadi pimpinan UMNO pertama yang ‘direhatkan’ susulan siasatan berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Tindakan tersebut wajar dipertimbangkan
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Shafiq Iqram Abdullah menyatakan tindakan itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan siasatan dapat berjalan tanpa sebarang persepsi gangguan atau konflik kepentingan.
Menurutnya, Asyraf Wajdi berada dalam kerajaan dalam tempoh yang termasuk dalam skop siasatan RCI Tabung Haji dan perlu bersedia menjawab persoalan berkaitan tanggungjawab politik, peranan serta pengetahuannya terhadap perkara yang berlaku ketika itu.
“RCI menyebut wujud transaksi mencurigakan, penyembunyian maklumat, kelemahan proses membuat keputusan pelaburan dan kegagalan tadbir urus. RCI juga mencadangkan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.
“Saya tidak menuduh Asyraf Wajdi melakukan kesalahan jenayah. Itu mesti ditentukan melalui siasatan dan bukti.
“Tetapi dari sudut tanggungjawab politik, saya fikir beliau tidak boleh hanya meminta orang lain bertanggungjawab. Beliau sendiri mesti bersedia dikenakan standard yang sama,” katanya.

Prinsip perlu dipegang
Mohd Shafiq pada masa sama mempersoalkan prinsip Asyraf Wajdi sebelum ini yang menegaskan “jangan lindungi sesiapa dan pihak yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan” itu terpakai kepada siapa.
Katanya, jika benar prinsip berkenaan dipegang, tiada pengecualian sepatutnya diberikan kepada mana-mana pimpinan politik termasuk dirinya sendiri.
“Kalau beliau benar-benar percaya “jangan lindungi sesiapa”, maka saya cabar beliau untuk menunjukkan prinsip itu dengan dirinya sendiri.
“Jika siasatan mendapati beliau mempunyai tanggungjawab atau keterlibatan dalam perkara yang sedang disiasat, beliau perlu tampil dan bertanggungjawab.
“Jangan minta orang lain bertanggungjawab kalau kita sendiri belum bersedia untuk bertanggungjawab. Itulah ukuran sebenar integriti,” katanya.

Pemimpin UMNO itu sedang terlibat dalam konflik
Sementara itu, Exco AMK, Amira Alias turut menyokong pandangan tersebut dengan bersetuju terhadap saranan wakil Negeri Sembilan pada Kongres Nasional Keadilan 2026, Mohd Shariman Che Deris yang meminta Perdana Menteri mempertimbangkan penggantian Pengerusi MARA dengan individu lain.
Menurutnya, langkah itu wajar dipertimbangkan kerana pemimpin UMNO berkenaan sedang terlibat dalam konflik berkaitan RCI TH.
“Asyraf wajdi sendiri sebelum ini pernah berkata bahawa pihak yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan tiada siapa yang patut dilindungi.
“Jadi secara politik, sangat munasabah untuk kita menuntut konsistensi antara prinsip yang beliau nyatakan dengan tindakan apabila siasatan menyentuh lingkungan kepimpinan sendiri,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

